
ARAU: Anaqi’s Popcorn, jenama makanan ringan tempatan milik usahawan Muslim Bumiputera terus mencuri perhatian apabila berjaya menguasai pasaran Perlis dengan produk buatan sendiri yang berkualiti dan digemari ramai.
Menjelang penghujung Ramadan lalu, tempahan mencecah 200 kilogram sempena sambutan Aidilfitri, membuktikan permintaan tinggi terhadap produk ini.
Jenama ini dimiliki oleh sepasang anak muda tempatan, Zainudin Zainul Abidin, 38, dan Nurul Aimi Syazana Baba, 32, yang beroperasi dari Arau.
Bagi musim perayaan kali ini, Anaqi’s Popcorn menerima banyak tempahan sebagai ‘doorgift’ bagi pelbagai jenis majlis.
Menurut pengasasnya, Nurul Aimi, produk mereka ditawarkan dalam tiga perisa utama iaitu Caramel, Extra Caramel dan Butterscotch, dengan Butterscotch dikategorikan sebagai perisa premium dan dijual pada harga RM45 sekilogram.

Jelas Aimi, setiap perisa dihasilkan dengan menggunakan bahan-bahan berkualiti dari awal (scratch) dan proses memasak dilakukan secara manual.
“Kami tidak menggunakan serbuk perisa biasa. Sebagai contoh, untuk Butterscotch, sos salutan kami buat sendiri daripada gula perang dan majerin. Dulu kami guna butter, tetapi disebabkan kos tinggi, kami beralih kepada majerin Buttercup,” katanya.
Ujar Aimi lagi, popcorn Caramel dan Extra Caramel dihasilkan dengan cara yang serupa di mana teknik memasak menggunakan ‘kettle’ seperti di panggung wayang, di mana popcorn disalut terus dalam ‘coating’ gula.
Namun menurutnya, bagi perisa Butterscotch dan Harumanis, proses salut dilakukan secara berasingan.
“Setiap pek popcorn kami seberat satu kilogram dan dihasilkan terus dari kilang dengan kawalan kualiti yang ketat. Popcorn dijamin tidak lemau, malah gabungan rasa manis, masin dan berlemak menjadikannya sangat ketagih dan sedap,” tambah Aimi.

Popcorn atau bertih jagung bukan sahaja sesuai dijadikan hadiah (doorgift), malah boleh dijadikan kuih raya, snek kudapan keluarga, atau dibungkus semula untuk jualan.
Menurut Aimi, perisa Butterscotch sering diletakkan di stesen minyak dan kafe sekitar Kangar dan turut dibawa ke pelbagai acara sebagai tarikan utama.
“Kalau habis, kami akan ‘restock’. Tapi kalau ada ‘event’, saya akan bawa popcorn Butterscotch sebab permintaan terhadap perisa ini memang tinggi,” jelasnya lagi.
Pihaknya turut menyediakan perkhidmatan penghantaran dan pos ke seluruh Semenanjung Malaysia. – HARAKAHDAILY 12/4/2025













