Harakahdaily nafi terbit berita tular Tiktok My Media

Beri amaran ambil tindakan undang-undang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Harakahdaily menafikan sekeras-kerasnya telah menerbitkan sebarang berita di portalnya atau memuat naik hantaran di media sosialnya seperti laporan yang ditularkan menerusi satu video oleh platform TikTok My Media.

Ketua Pegawai Operasi Harakah, Khairul Nadzir Helmi Azharberkata, pihaknya tidak akan berdiam diri dan memberi tempoh 24 jam kepada pihak yang terlibat untuk menarik balik hantaran berkenaan.

“Kami akan memulakan proses perundangan dalam masa 24 jam jika tidak menarik kembali posting ini,” katanya lagi pada hari ini.

Dalam pada itu, Nadzir turut memuat naik pautan video TikTok yang dipercayai mengandungi kandungan fitnah terhadap Harakahdaily di akaun media sosial beliau sebagai rujukan tersebut.

“Ni posting asal kaki fitnah ni. https://vt.tiktok.com/ZSruhfHv6/,” kemukanya yang juga Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam gesaan itu.

Video yang dimuat naik oleh akaun TikTok My Media itu memaparkan tangkap muat seolah-olah daripada Harakahdaily kononnya memetik Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Kononnya beliau berkata: “Isu kawalan Perjalanan TCO? Saya mohon maaf kepada YAB PMX, Menteri KDN, KPN ~ Dr Ahmad Samsuri.” disertai kapsyen, “Terkini guys, MB Terengganu tarik balik kenyataan mohon maaf kepada YAB PM, Menteri KDN dan Ketua Polis Negara.”

Harakahdaily menegaskan bahawa tidak pernah menerbitkan berita sedemikian dan menyifatkannya sebagai satu cubaan fitnah yang berniat jahat terhadap organisasi media tersebut.

Pihak Harakahdaily juga memberi tempoh 24 jam kepada pihak yang bertanggungjawab untuk menarik balik hantaran berkenaan sebelum tindakan undang-undang diambil. – HARAKAHDAILY 12/4/2025

- Advertisement -
- Advertisement -