
KANGAR: Golongan pelajar di seluruh negeri ini digalakkan untuk menghadiri Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Kebangsaan 2025 (MTHQK 2025) bagi menghayati keindahan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang akan diperdengarkan para qari dan qariah terbaik dari seluruh negara.
Majlis yang julung kali diadakan di negeri Perlis itu dijadualkan berlangsung selama enam hari bermula 27 April hingga 2 Mei ini bertempat di Dewan 2020, di sini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail berkata, penyertaan aktif daripada semua sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri serta institusi pengajian tinggi amat digalakkan bagi menyemarakkan syiar Islam dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.
Menurut beliau, majlis seumpama ini merupakan medan penting dalam mendidik pelajar agar lebih dekat dengan al-Quran serta memperkukuhkan pemahaman mereka terhadap ajaran Islam.
“Sebagai usaha untuk melahirkan pelapis muda dalam bidang bacaan al-Quran, kita lihat ramai peserta muda dari kalangan pelajar.
“Justeru, kita mahu didikan ini bermula seawal di peringkat sekolah rendah agar generasi muda lebih lunak dan jinak dengan al-Quran,” katanya ketika ditemui semalam.
Majlis pra pelancaran tilawah yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar serta tetamu kenamaan dan wakil-wakil agensi agama.
Tambah Datuk Rahimi, sambutan terhadap majlis ini amat menggalakkan bukan sahaja daripada agensi dan komuniti Islam tempatan, malah turut mendapat perhatian masyarakat Islam di selatan Thailand hasil promosi yang dijalankan di wilayah berkenaan.
Menurutnya lagi, penganjuran majlis tilawah itu akan disusuli dengan pelaksanaan Perkampungan Sunnah sebagai kesinambungan usaha memartabatkan Islam di negeri ini.
Beliau turut menyatakan harapan agar penglibatan pelajar dalam program seperti ini dapat meneruskan momentum syiar Islam kerana golongan muda merupakan pelapis yang akan memikul amanah perjuangan agama pada masa akan datang. – HARAKAHDAILY 11/4/2025











