‘Esok boleh pergi sekolah, kita beli pakaian baru’

- Advertisement -

PADANG SERAI: “YB, saya tak boleh pergi sekolah, baju sekolah dah terbakar,” demikian keluhan seorang anak yang keluarganya menjadi mangsa kebakaran di Kampung Bagan Sena, di sini.

- Advertisement -

Kanak-kanak itu meluahkan perkara tersebut ketika dikunjungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merbau Pulas, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali.

Kebakaran yang melibatkan kediaman Famirul Syafiq Abdullah, kelmarin, memusnahkan hampir keseluruhan rumahnya, sementara beliau anak beranak tinggal sehelai sepinggang.

Kata Dato’ Ashah, pihaknya akan cuba mendapatkan bantuan sama ada dari pihak kerajaan negeri atau Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) untuk membantu mangsa membina semula rumah yang telah musnah dijilat api.

“Saya berharap Syafiq sekeluarga dapat bersabar dan InsyaAllah, saya akan cuba membantu meringankan beban keluarga ini,” kata beliau.

Dalam pada itu, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri itu, sempat menenangkan anak mangsa yang kelihatan murung dan sedih kerana tidak dapat ke sekolah kerana pakaiannya telah musnah.

“Tak apa, esok boleh pergi sekolah. Kita beli pakaian baru,” pujuk Dato’ Ashah memberi semangat.

Dalam pada itu, punca kebakaran dan jumlah kerugian mangsa masih dalam siasatan.

Pada kunjungan itu, Dato’ Ashah turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mangsa kejadian sebagai tanda prihatin, membantu meringankan sedikit beban mereka.

“Kita akui dugaan ini sangat besar, apatah lagi dalam suasana kita menyambut Aidilfitri. Walau bagaimanapun semoga keluarga ini diberi ketabahan dan kekuatan menerima ujian ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 11/4/2025

- Advertisement -