Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pendang meriah

- Advertisement -

PENDANG: Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kawasan Pendang, meriah dengan pengunjung membanjiri pekarangan Markas PAS Kawasan Pendang sebaik sahaja majlis bermula pada jam 12 tengahari hingga jam 3 petang, semalam.

- Advertisement -

Pelbagai juadah disajikan untuk pengunjung antaranya, lemang, rendang, sate, laksa, cucur udang, ais kerim, termasuk menu utama nasi tomato, ayam masak merah dan lain-lain.

Walaupun cuaca kurang baik dan hujan agak lebat hampir setengah jam iaitu sekitar jam 1:30 hingga 2:00 petang, pengunjung dilihat masih memasuki pekarangan markas meraikan majlis berkenaan.

Sementara, kanak-kanak seperti biasa diraikan dengan pemberian duit raya yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tokai, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman dan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim.

Antara bersama hadir adalah ADUN Pedu, Mohd Radzi Mat Amin dan ADUN Anak Bukit, Rashidi Razak, termasuk juga pemimpin masyarakat persekitaran.

Turut meraikan tetamu yang hadir, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Pendang, yang juga isteri kepada ADUN Tokai, Dr Rahimah Sahit.

Selain menjamu selera, pengunjung juga boleh merakamkan kenangan di ‘port ootd’ yang disediakan.

Dato’ Dr Hayati yang juga Yang Dipertua PAS Pendang mengucapkan terima kasih atas kehadiran semua tetamu dan pengunjung.

“Terima kasih kerana sudi hadir memeriah Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kawasan Pendang,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/4/2025

- Advertisement -