
KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki menggesa kerajaan menyemak semula keputusan menaikkan cukai dan memotong subsidi kerana ia boleh melemahkan kuasa beli rakyat serta menjejaskan usaha memperkukuh ekonomi domestik.
Beliau berkata, seluruh dunia kini menjadi kelam kabut dengan keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang menaikkan tarif import barangan luar ke negara itu antara 10 hingga 54 peratus, bergantung kepada negara.
“Barangan dari negara Malaysia dikenakan kenaikan tarif sebanyak 24 peratus, iaitu di kedudukan ke-15 antara negara-negara yang terbesar kenaikan tarifnya.
“Tindakan Trump tersebut akan memberi kesan yang pelbagai kepada ekonomi global, dan yang paling segera ialah kejatuhan pasaran saham di seluruh dunia seperti yang berlaku pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kenaikan tarif itu secara langsung boleh menjejaskan eksport Malaysia ke Amerika Syarikat termasuk komponen elektronik, dan secara tidak langsung turut menjejaskan eksport ke negara-negara lain yang berdagang dengan Amerika.
“Bila eksport merudum, nilai mata wang ringgit boleh melemah, dan ini akan menyebabkan harga barangan import meningkat. Ringkasnya, kesan kenaikan tarif itu terhadap ekonomi Malaysia bukanlah remeh,” katanya.
Beliau berkata, tindak balas China terhadap keputusan Trump turut memburukkan keadaan apabila negara itu mengenakan kenaikan 34 peratus kepada barangan dari Amerika Syarikat serta membataskan eksport barangan berasaskan nadir bumi.
“Tindakan China tersebut boleh mengganggu rantaian perbekalan barangan elektronik, yang boleh menjejaskan pengeluaran barangan elektronik termasuk terhadap syarikat-syarikat Amerika Syarikat. Umumnya, tindakan China itu boleh mengkucar-kacirkan lagi ekonomi global,” katanya.
Dr Mohd Zuhdi berkata, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam penjelasannya menyatakan bahawa Malaysia telah bersedia dengan beberapa langkah untuk mengawal dampak kenaikan tarif Amerika Syarikat.
Katanya, antara langkah yang diumumkan adalah mencari pasaran baharu untuk barangan eksport seperti di Afrika dan Timur Tengah; mempercepatkan perjanjian perdagangan bebas (FTA); memperkasakan perdagangan komuniti ASEAN; dan memperkukuhkan ekonomi domestik.
“Sememangnya langkah-langkah seumpama itulah yang harus diambil oleh Kerajaan Malaysia terutamanya untuk tempoh jangka pendek bagi menghadapi tindakan Trump.
“Buat masa ini, saya tidak berhasrat untuk mengulas langkah-langkah tersebut kecuali langkah keempat yang berkaitan dengan pengukuhan ekonomi domestik,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa dalam situasi itu, sektor ekonomi Malaysia khususnya berasaskan pengeluaran perlu disokong oleh permintaan domestik.
“Sekiranya permintaan domestik pun merudum, sektor ekonomi pengeluaran di Malaysia akan terjejas teruk,” katanya.
Tambah beliau, laporan Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan bahawa meskipun berlaku kenaikan bayaran upah pendapatan rakyat, harga barangan makanan meningkat lebih tinggi, menyebabkan kuasa beli rakyat semakin lemah.
“Dijangkakan, kuasa beli itu semakin melemah apabila pelbagai kenaikan cukai telah diumumkan dan berlaku pula pemotongan subsidi kepada barangan dan perkhidmatan tertentu,” katanya.
Sehubungan itu katanya, jika kerajaan benar-benar mahu memperkukuh ekonomi domestik seperti dinyatakan Tengku Zafrul, usaha itu mesti disokong dengan peningkatan kuasa beli rakyat.
“Sekiranya kuasa beli rakyat Malaysia semakin menguncup disebabkan kenaikan baru pada cukai-cukai serta pemotongan subsidi pada barangan dan perkhidmatan tertentu, bagaimana permintaan domestik boleh ditingkatkan?
“Tanpa peningkatan permintaan domestik, amat sukar untuk ekonomi Malaysia beralih pergantungan kepada ekonomi domestik seperti yang dicadangkan oleh Tengku Zafrul,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/4/2025











