
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan mengumumkan peruntukan khas kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memperhebat operasi menangkap lembu susulan dua kemalangan maut berlaku malam tadi dan pagi ini akibat haiwan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Hilmi Abdullah berkata, kejadian pertama berlaku di kawasan berhampiran Hospital Besar Kuala Krai.
Menurutnya, tragedi melibatkan seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu telah menyebabkan mangsa maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar lembu malam tadi.
Katanya, satu lagi kemalangan dilaporkan berlaku di Kampung Keroh, juga di Kuala Krai turut melibatkan kematian selepas motosikal yang ditungganginya melanggar lembu.
“Pada mesyuarat Exco pagi ini, saya telah membawa satu permohonan agar masalah lembu rayau ini diberi perhatian serius memandangkan sehingga kini kes berkenaan belum dapat diatasi sepenuhnya,” katanya.
Menurut beliau, terbaru operasi menangkap lembu rayau telah dilakukan seminggu sebelum Aidilfitri lalu, namun hanya satu kes kemalangan dilaporkan ketika itu dan tiada kemalangan maut dilaporkan berlaku.
Tambah beliau, kerajaan negeri bersetuju memberi sedikit peruntukan khas kepada semua PBT di negeri ini bagi memperhebat operasi menangkap lembu rayau.
“Kita ada Enakmen Pendaftaran Ternakan Ruminan 2023 (EPTR23) yang mewajibkan semua pemilik haiwan seperti lembu, kerbau, kambing dan biri-biri mendaftarkan haiwan masing-masing,” jelasnya.
Menurutnya, buat masa ini, pendaftaran diwajibkan kepada haiwan ternakan yang baru dilahirkan sahaja, tetapi bagi haiwan yang telah lama diternak, pendaftaran masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Namun, pada tahun ini katanya, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Veterinar dan Exco Pertanian akan melaksanakan pendaftaran semua haiwan ruminan secara berperingkat.
“Setelah 14 hari kelahiran, pemilik wajib mendaftarkan haiwan tersebut di Jabatan Veterinar berdekatan.
“Setiap haiwan yang didaftarkan akan ditanda menggunakan tag di leher yang menunjukkan pemiliknya,” katanya pada media selepas mesyuarat Exco, di MABNA di sini hari ini.
Jelas Hilmi, enakmen berkenaan menggantikan Enakmen Lembu dan Kerbau 1968.
ADUN Guchil itu juga memberitahu, di peringkat Pusat pula, terdapat Akta Binatang 1953 [Akta 647) yang menyokong usaha mengurangkan lembu tanpa pemilik berkeliaran sehingga menyebabkan risiko kepada pengguna jalan raya.
“Kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan Jabatan Veterinar untuk memperkasakan operasi haiwan rayau di sepanjang jalan protokol dari Gua Musang hingga ke Kota Bharu,” katanya.
Mengenai kemalangan maut di Kuala Krai pagi tadi, Hilmi memaklumkan bahawa pemilik lembu yang terlibat masih belum dapat dikenal pasti.
Tambahnya, lembu yang ditangkap semasa operasi akan disita dan disimpan di kandang sementara, sebelum notis akan dikeluarkan untuk dituntut dalam tempoh tiga hingga tujuh hari.
“Jika tidak dituntut dalam tempoh ditetapkan, lembu tersebut akan dilelong,” katanya lagi dan memberitahu, pemilik lembu boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 dan kompaun.
Tegasnya, mereka juga perlu membayar caj tangkapan, kos makanan, kerja lebih masa petugas, serta suntikan pelali terhadap haiwan dengan kos keseluruhan untuk seekor lembu yang ditangkap biasanya melebihi RM1,000, tidak termasuk kompaun.
“Lembu rayau yang ditangkap ialah haiwan yang berkeliaran di tempat awam seperti taman permainan, jalan perumahan dan jalan raya. Kawasan ragut telah disediakan oleh kerajaan negeri dan tidak sepatutnya digantikan dengan kawasan awam,” katanya.
Selain lembu, Hilmi berkata, haiwan lain seperti anjing liar juga menjadi isu utama di kawasan perumahan yang menurut beliau hanya boleh dihapuskan sekiranya menghidap penyakit seperti rabies sahaja.
Katanya, tindakan terhadap anjing liar menghadapi kekangan kerana ia sering mendapat bantahan daripada pencinta haiwan jika ditembak. – HARAKAHDAILY 9/4/2025











