Isu pertelingkahan hanya kerja ‘cyber trooper’ – Mohd Amar

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Dakwaan wujud pertelingkahan dalam kalangan pimpinan PAS hanyalah hasil kerja ‘cyber trooper’ yang cuba menimbulkan suasana tegang dalam parti ini.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tuduhan tersebut tidak berasas memandangkan hubungan dalam parti berada dalam keadaan baik dan harmoni.

“Empat negeri yang kami perintah, apa yang perlu direbutkan? Kami tidak kejar jawatan, kami dalam parti sentiasa bekerjasama dan menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pengkalan Chepa, di sini semalam.

Menurut Mohd Amar, beliau sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa segala keputusan adalah hak parti dan kawasan, termasuk soal pencalonan dalam pemilihan kepimpinan parti.

“Saya tidak ada perancangan, tidak ada kempen. Kalau ada pencalonan yang munasabah, saya akan timbang. Kalau tak ada pencalonan, tak ada masalah bagi saya,” jelasnya.

Tambah beliau, PAS mempunyai sistem tersendiri dalam menilai dan memilih pemimpin yang layak menerajui perjuangan parti.

“Saya ini hanya mengikuti keputusan parti. Kalau ada kawasan yang mencalonkan, saya pertimbangkan atau kalau ada orang yang lebih baik, beri saja kepada beliau,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/4/2025

- Advertisement -