
KUALA KEDAH: Hasrat serta keinginan seorang pesakit kanser di Taman Sri Marina, fasa 1, di sini untuk berjumpa dan bersua muka dengan lagenda bola sepak negara, Baddrol Bakhtiar akhirnya dipenuhi.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Dato’ Mohd Salleh Saidin, pesakit kanser tersebut sangat meminati dan begitu berhajat untuk menemui bintang bola sepak pujaannya.
“Saya usaha, tunaikan hajatnya, dan membawa ADUN Gurun ini, untuk bertemu pesakit ini di kediamannya,” kata Dato’ Salleh yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, di sini.
Muhammad Firdaus Mohd Zul, 16, pengidap kanser osteosarcoma tahap empat sejak hampir setahun lalu, antara peminat tegar bekas pemain bola sepak negara itu dan sangat berhajat untuk bersua muka dengannya.
“Saya tengok, beliau sangat gembira bila YB Baddrol datang berkunjung dan berada di depan matanya. Saya pun rasa sedih,” katanya.
Pada Dato’ Salleh, memberi kegembiraan terutama kepada mereka yang sedang bertarung dengan penyakit yang dihidapi, sangatlah dituntut.
Apatah lagi, ujarnya dalam suasana menyambut Syawal yang masih terasa bahang kemeriahannya.
“Terima kasih YB Baddrol kerana sudi datang dan marilah kita sama-sama berdoa agar Firdaus diberi kekuatan oleh Allah agar terus bersabar dan segera sembuh,” kata beliau lagi.
Dalam pada itu Baddrol menghadiahkan sepasang kasut sukan yang disertakan dengan tanda tangannya kepada Firdaus. – HARAKAHDAILY 9/4/2025











