Gesa kerajaan jangan ada kaitan dengan Israel

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu menggesa Kerajaan Malaysia agar memutuskan semua bentuk hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rejim Zionis-Israel serta mana-mana entiti yang bersekongkol dengannya.

- Advertisement -

Desakan itu dinyatakan oleh Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Harun Esa, susulan sokongan penuh pihaknya terhadap fatwa jihad yang dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama Muslim Sedunia.

Fatwa sebelum ini menegaskan kewajipan umat Islam untuk membantu dan membela rakyat Palestin yang dizalimi secara terang-terangan oleh rejim Zionis.

Menurut beliau, tindakan tegas termasuk memutuskan sebarang bentuk kerjasama ekonomi dan hubungan rasmi perlu diambil sebagai manifestasi solidariti terhadap penderitaan rakyat Palestin dan penolakan terhadap kekejaman yang berterusan dilakukan oleh Israel.

“Dalam masa yang sama, kerajaan juga perlu membawa isu kekejaman Zionis ke peringkat antarabangsa, termasuk ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, pendirian itu bukan sahaja selari dengan prinsip kemanusiaan sejagat, tetapi juga selaras dengan tuntutan akidah dan syariat Islam yang menyeru umatnya menentang kezaliman dan membantu golongan tertindas.

“Arahan syarak yang jelas Al-Quran dan hadis menyeru umat Islam untuk bangkit menentang kezaliman dan membantu yang tertindas. Kepentingan bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa, tanah suci umat Islam yang menjadi amanah untuk dipertahankan,” katanya.

Beliau juga meminta kerajaan menyalurkan bantuan kemanusiaan secara konsisten melalui saluran rasmi dan diyakini serta disarankan memberi ruang dan sokongan penuh kepada NGO dan badan kemanusiaan untuk menghulurkan bantuan ke Gaza.

Selain itu, katanya, kerajaan perlu memperkukuh pendidikan dan kesedaran berkaitan isu Palestin dalam sistem pendidikan dan media nasional.

Beliau berkata, perjuangan membela Palestin adalah amanah umat Islam seluruh dunia dan perlu diteruskan dengan pelbagai pendekatan termasuk sokongan politik, bantuan kemanusiaan, serta usaha diplomatik berterusan.

“Bagi umat Islam di Malaysia, antara bentuk jihad yang boleh dilaksanakan merangkumi jihad harta iaitu menyumbang kepada tabung bantuan Palestin secara berterusan.

“Jihad dakwah juga diperlukan untuk menyampaikan fakta sebenar mengenai isu Palestin kepada masyarakat. Jihad politik dan kesedaran adalah mendesak kerajaan dan pertubuhan antarabangsa bertindak tegas terhadap Israel.

“Jihad doa, terus mendoakan kemenangan dan keselamatan rakyat Palestin, termasuk dengan Qunut Nazilah. Jihad ilmu untuk mendidik generasi akan kepentingan mempertahankan tanah suci dan menolak naratif musuh.

“Pemuda PAS Terengganu juga menyeru semua pihak agar tidak berpeluk tubuh, sebaliknya bangkit menjalankan peranan masing-masing demi membantu saudara kita di Palestin,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/4/2025

- Advertisement -