PAS Selangor gesa keadilan buat Abang Belon

Zurk Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS Selangor menzahirkan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa Muhammad Zaimuddin Azlan, 28 atau lebih dikenali sebagai Abang Belon yang disahkan mengalami keretakan pada tulang belakang akibat insiden yang berlaku.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad berkata, media saat ini sedang melaporkan rekod jenayah lampau Abang Belon ketika sedang mendapatkan pembelaan akibat kekerasan yang dikenakan terhadap tubuh badannya sehingga menerima rawatan serius di hospital.

- Advertisement -

Menurutnya, peguam-peguam terkemuka telah menulis bahawa kes dan sabitan lampau tidak boleh dijadikan alasan untuk menidakkan hak Abang Belon mendapatkan pembelaan atau dijadikan lesen untuk diperlakukan sewenangnya.

“Sekali pun seseorang itu bersalah, undang-undang tidak mengizinkan mana-mana pihak berkuasa menggunakan kekerasan sehingga mendatangkan kecederaan serius kepada pelaku tanpa sebab munasabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Zaimuddin sebelum ini membuat laporan polis susulan dakwaan dia dikasari oleh penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada 28 Mac lalu.

Zurk berkata, tindakan mendedahkan rekod lampau Abang Belon adalah tindakan tidak matang dan tidak wajar jika bertujuan mengalihkan isu jenayah yang berlaku.

Katanya, Abang Belon berhak membela diri dan mendapatkan keadilan terhadap salah guna kuasa melampau yang dikenakan serta menuntut hak atas kecederaan yang sedang ditanggung beliau ketika ini. – HARAKAHDAILY 7/4/2025

- Advertisement -