
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menegaskan kepentingan menyambung silaturahim sesama umat Islam sempena sambutan Aidilfitri, meskipun dalam kesibukan kerja dan kekangan masa.
Menurut Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Kelantan itu, suasana Syawal tahun ini masih meriah dengan pelbagai kenduri kendara yang diadakan oleh masyarakat di kampung, walaupun sebahagian besar perantau sudah kembali ke tempat kerja masing-masing.
“Boleh dikatakan hampir setiap keluarga sedang sibuk. Kenduri kendara begitu rancak diadakan, jalan-jalan kampung meriah, bau lauk kenduri semerbak dari rumah ke rumah,” katanya dalam satu tulisan di media sosial.
Mohd Amar turut berkongsi bahawa beliau sendiri menerima banyak undangan sejak hari pertama Syawal dan berusaha memenuhi setiap jemputan yang diterima, walaupun terpaksa berdepan kesesakan lalu lintas dan jadual padat.
“Semuanya terasa ringan apabila kita letakkan dalam hati bahawa ini adalah sebahagian daripada tuntutan agama, sebahagian daripada ajaran Rasulullah SAW,” katanya.
Beliau turut mengingatkan umat Islam mengenai sabda Rasulullah SAW bahawa sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya dan dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung silaturahim.
Bahkan katanya, sesiapa yang memutuskan silaturahim tidak akan masuk syurga.
“Inilah peluangnya. Syawal adalah bulan kita saling menziarahi, memohon maaf dan menyambung kembali hubungan yang mungkin renggang. Jangan pandang ringan setiap jemputan,” tegasnya.
Mohd Amar turut menekankan bahawa kehadiran ke jemputan kenduri bukan sekadar memenuhi undangan, sebaliknya boleh menjadi ruang untuk merawat hati dan menyuburkan kasih sayang sesama insan.
“Lebih-lebih lagi jika kita hadir tanpa banyak alasan, dengan wajah ceria dan tangan yang ringan membantu,” katanya.
Beliau turut menyeru agar kesibukan kerja tidak menjadi alasan untuk melupakan hak saudara mara dan sahabat handai, sebaliknya menyarankan agar sekurang-kurangnya hadir walau sekejap bagi menzahirkan keprihatinan.
“Kalau tidak dapat duduk lama, cukuplah sekadar menjenguk, bersalaman dan mendoakan dari dekat. Itu pun sudah cukup besar nilainya di sisi Allah,” katanya.
Mohd Amar berharap agar amalan menyambung silaturahim itu terus dipelihara dan menjadi pemberat amalan di akhirat kelak.
“Sesungguhnya, antara amalan yang mendekatkan diri kepada Allah ialah berbuat baik kepada kaum kerabat dan sahabat-sahabat,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/4/2025











