
PUCHONG: Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor berganding bahu bersama beberapa pihak dalam menjayakan program Gotong-Royong Pembersihan Awal di Ma’ahad Tahfiz Al-Muqri dan Ma’ahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari, Kampung Kuala Sungai Baru.
Penolong Pengarahnya, Ustaz Zulkifli Mohd Nor berkata, program itu adalah satu usaha murni susulan insiden letupan dan kebocoran paip gas yang berlaku di Putra Heights pada 1 April lalu.
Menurut beliau, kejadian itu telah menjejaskan lebih 400 mangsa daripada dua buah kampung, iaitu Kampung Kuala Sungai Baru dan Kampung Jalan Putra Harmoni, di sini.
“Kehadiran para sukarelawan hari ini amat kami hargai dan menjadi tulang belakang dalam menyempurnakan kerja-kerja pembersihan kawasan, khususnya bagi menyingkirkan debu dan habuk batuan yang diterbangkan ke sekitar kampung.
“Justeru itu, pihak Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.
“Serta individu-individu luar yang turut menyumbang tenaga dan masa walaupun kami tidak sempat mengenali semua secara peribadi,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara yang terlibat dalam gotong-royong itu adalah Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor; Armada Bersatu; Pasukan Bomba Sukarelawan Rantau Panjang, Klang; Yayasan Amal Cawangan Selangor dan Gabungan NGO Islam Kota Raja Care.
Tambah Zulkifli, kerjasama erat dan semangat ukhuwwah Islamiyyah yang ditunjukkan itu menjadi cerminan kepada kekuatan masyarakat dalam menghadapi musibah yang melanda.
“Semoga Allah SWT membalas segala amal kebajikan yang telah dilakukan dengan ganjaran pahala dan keberkatan yang berpanjangan.
“Marilah kita terus bersatu hati dan berganding bahu dalam membina masyarakat yang prihatin dan peduli terhadap mereka yang sedang diuji,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/4/2025











