
KUALA LUMPUR: Letupan paip gas di Putra Heights pada Selasa lalu mengejutkan seluruh negara di mana kejadian yang mengakibatkan kebakaran besar ini bukan sahaja merosakkan harta benda, tetapi juga menjejaskan emosi mangsa terlibat.
Pertubuhan Wanita ‘Afiyah Malaysia (‘AFIYAH) sehubungan itu menghantar wakilnya, Dr Afizah Salleh bersama dua doktor pakar untuk menyantuni mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia semalam.
“Alhamdulillah, keperluan kesihatan seperti penjagaan luka terbakar dan penyakit kronik yang lain telah diuruskan dengan efisien oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kehadiran wakil ‘AFIYAH adalah khusus untuk memberikan ‘psikological first aid’ kepada mangsa-mangsa yang masih trauma dengan kejadian, selain menghulurkan sedikit sumbangan hasil derma kilat daripada orang ramai,” kata ‘AFIYAH di laman Facebook rasmi, hari ini.
Menurut kenyataan itu juga, wakil ‘AFIYAH dan Ustazah Wan Hasrina Wan Hassan dari Khidmat Malaysia Negeri Selangor telah diberi kesempatan melawat Kampung Kuala Sungai Baru untuk meninjau sendiri kesan letupan dan kebakaran.
“Antara kerosakan yang dilihat termasuk rumah yang hangus, barangan yang musnah serta kenderaan yang mencair dan rosak akibat suhu panas melampau, letupan batu simen dan percikan api,” menurut kenyataan itu lagi.
Manakala di PPS Masjid Putra Heights maklum kenyataan tersebut, wakil ‘AFIYAH sempat mendengar sendiri kisah tragis daripada penduduk yang berada di rumah semasa kejadian berlaku.
“Ramai yang ketika itu sedang bersiap untuk menyambut Hari Raya kedua, dikejutkan dengan bunyi letupan yang amat kuat, diikuti api marak yang menjulang serta bahang yang begitu panas.
“Penduduk bertempiaran menyelamatkan diri sehelai sepinggang. Ada yang tidak sempat mencapai pakaian mahupun kasut, malah ada ibu yang terpisah dengan anak.
“Serta seorang nenek yang terpaksa melompat dari tembok setinggi tujuh kaki bersama cucunya untuk menyelamatkan diri ke dalam sungai.
“Ramai yang mengalami kecederaan akibat terkena bahang yang sangat panas, pecahan batu simen yang berterbangan, serta berlari di atas tanah membara,” katanya.
Berbeza dengan mangsa di PPS Dewan Camelia, menurut kenyataan, mangsa pulang ke kampung untuk beraya kini mendapati rumah mereka musnah dan kawasan sekitar tidak selamat untuk kembali.
“Sehingga kini mereka masih belum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kerana kawasan yang tidak selamat. Mereka terpaksa berlindung dalam khemah kecil di PPS dengan masa depan yang masih samar.
“Mangsa-mangsa meluahkan rasa syukur dan terharu atas keprihatinan pihak-pihak yang datang mendengar rintihan mereka serta menghulurkan sumbangan, yang sedikit sebanyak meredakan tekanan emosi yang ditanggung.
“Mereka kini hanya mampu menunggu bantuan susulan yang dijanjikan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Pertubuhan Wanita ‘Afiyah Malaysia berharap agar semua mangsa kekal tabah, serta menerima pembelaan yang sewajarnya daripada pihak berautoriti.
“’AFIYAH juga menggesa siasatan yang telus oleh pihak berkuasa demi membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan, dengan hukuman yang setimpal.
“Tragedi ini diharap menjadi iktibar agar langkah keselamatan dan pencegahan dapat diperketatkan demi mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang pada masa akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/4/2025











