MITI beretorik ketika ekonomi dunia dilanda gelombang tarif AS

Bakal ada kesan berantai, penyusutan, penguncupan dan kemerosotan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pasaran saham global mengalami kejatuhan mendadak selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan kenaikan tarif ke atas eksport asing ke negara itu, semalam.

- Advertisement -

Wall Street mencatatkan kerugian besar apabila Indeks Dow Jones merosot hampir 1,700 mata atau empat peratus, manakala Nasdaq menjunam sebanyak 1,050 mata iaitu kira-kira enam peratus.

Secara keseluruhannya, nilai kapital pasaran saham Amerika Syarikat susut sebanyak USD 2.5 trilion.

Ketua Biro Ekonomi Bersatu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, pasaran lain turut menerima kesan berantai.

Katanya, FTSE 100 di United Kingdom menurun 1.5 peratus, manakala Nikkei di Jepun kehilangan 2.3 peratus, selain DAX di Jerman pula jatuh sebanyak 3.0 peratus.

“Ekonomi Singapura yang sangat bergantung kepada perdagangan dengan Amerika turut merosot 2.5 peratus, walaupun hanya dikenakan tarif sebanyak 10 peratus – paling rendah berbanding negara lain,” ujarnya.

Malaysia setakat ini katanya masih belum terjejas secara ketara dengan Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) hanya menurun kurang satu peratus, susut sekitar 15 mata pada akhir dagangan 4 April 2025.

Namun, beliau menegaskan, adalah tidak tepat untuk mengandaikan ekonomi Malaysia terasing dan tidak terkesan daripada krisis global ini.

“Kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat sudah pasti akan memberi kesan kepada teras utama ekonomi negara seperti pelaburan, rantaian pengeluaran, permintaan, tekanan inflasi dan kadar pengangguran.

“Data turut menunjukkan penurunan kadar pelaburan asing sebanyak 9.6 peratus, daripada RM188.4 bilion pada tahun 2023 kepada RM170.4 bilion pada 2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, lebihan dagangan negara juga terus menyusut secara ketara – dari RM37.7 bilion (Januari-Februari 2023) kepada RM21.4 bilion (2024)dan seterusnya menjunam kepada RM16.3 bilion pada tahun ini.

“Secara keseluruhan, lebihan dagangan negara telah merosot hampir 57 peratus sejak tahun 2023. Nilai eksport Malaysia ke Amerika Syarikat mencecah RM43.43 bilion. Maka kesan langsung ke atas sektor pembuatan negara akan menjadi semakin ketara.

“Sektor yang paling terkesan dijangka melibatkan industri elektronik dan semi-konduktor, perabot dan barangan kayu, getah serta sarung tangan perubatan, dan juga produk minyak sawit,” kata Datuk Mohamed Farid lagi.

Tambahnya, tiga sektor terakhir yang dinyatakan merupakan industri tulen negara yang mempunyai rantaian bekalan sedia ada serta merupakan sumber utama kepada penyediaan pekerjaan dalam negara.

“Sekiranya sektor eksport ini runtuh dalam keadaan kos sara hidup yang terus meningkat, ia umpama rakyat jatuh ditimpa tangga,” katanya.

Berdasarkan anggaran, penguncupan eksport sebanyak 20 peratus ke Amerika Syarikat boleh menyebabkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyusut sekitar 1.8 peratus tahun ini.

Beliau turut mempersoalkan kesediaan Kerajaan Madani dalam menghadapi gelombang ekonomi dunia yang semakin mencabar.

Katanya, kenyataan media dari Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hanya dipenuhi retorik dan tidak menjawab persoalan sebenar rakyat.

“Sangat membimbangkan apabila kadar sebenar tarif yang dikenakan belum dapat dipastikan. Ini mencerminkan tiadanya jalinan komunikasi berkesan antara kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat,” katanya lagi.

Menurut laporan CNA Singapura hari ini, kadar kenaikan tarif eksport oleh Amerika Syarikat mencecah 24 peratus.

Ini menjadikan barangan keluaran Malaysia kurang kompetitif, terutama bagi sektor yang bergantung kepada kelebihan harga dalam permintaan pasaran.

Beliau juga menyifatkan bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), SARA atau diskaun tol semasa musim perayaan hanyalah penyelesaian sementara, sedangkan kenaikan tarif elektrik dan petrol berlaku secara kekal.

Sekiranya eksport terus menguncup, katanya, KDNK akan menurun, pengangguran meningkat, dan kesengsaraan rakyat akan menjadi lebih parah.

“Sekiranya kerajaan mendakwa ekonomi negara akan kekal utuh melalui perbelanjaan domestik, bolehlah mereka semak berapa jumlah penerbangan domestik sehari ketika ini berbanding tiga atau lima tahun lalu,” katanya sinis.

Beliau turut memberi mesej tegas terhadap pengurusan ekonomi negara dengan kata-kata, “Kerajaan Madani, your stuttering, stumbling and bungling way of managing our country’s economy is sickening.” – HARAKAHDAILY 6/4/2025

- Advertisement -