
KUALA LUMPUR: Muhammad Zaimuddin Azlan, 28, yang lebih dikenali sebagai ‘Abang Belon’, hanya mahukan keadilan susulan insiden yang menyebabkan beliau cedera selepas bergelut dengan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Saya nakkan keadilan,” katanya ketika ditemui Harakahdaily selepas menerima rawatan di Hospital Serdang akibat kecederaan yang dialaminya dalam insiden berkenaan.
Difahamkan, insiden berlaku ketika beliau menjalankan perniagaan menjual belon yang hanya memberikan keuntungan kasar sekitar RM3 bagi setiap belon, sebelum berlaku kekecohan dengan anggota penguat kuasa yang dikatakan cuba merampas barang jualannya.
Hari ini, satu pertemuan diadakan antara peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali serta penyelaras NGO Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, bersama keluarga Muhammad Zaimuddin bagi membincangkan tindakan lanjut berhubung kes itu.
Sementara itu, satu laporan polis akan dibuat esok oleh Muhammad Zaimuddin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Dalam masa sama, satu sidang media turut dijadualkan berlangsung pada hari yang sama (6 April), jam 11.30 pagi di hadapan IPD Dang Wangi.
Sidang media itu diadakan bagi memberikan perkembangan terkini mengenai situasi ‘Abang Belon’ serta menjawab segala persoalan berkaitan 13 kes terdahulu yang tular. – HARAKAHDAILY 5/4/2025











