
KEBAKARAN paip gas di Putra Heights kelmarin membuka mata ramai – bahawa sistem tenaga negara bukan perkara remeh.
Ia kompleks, berisiko tinggi, dan memerlukan kecekapan pengoperasian tanpa kompromi.
Tetapi ramai mungkin tidak tahu—paip yang terbakar itu adalah sebahagian daripada Lingkaran PGU – Peninsular Gas Utilisation, tulang belakang sistem tenaga Semenanjung Malaysia.
Saya terasa terpanggil untuk bersuara, kerana saya pernah berada di tengah-tengah sistem ini.
Tahun 1998, saya memulakan kerjaya bersama PETRONAS Gas Berhad sebagai Jurutera Kawalan Gas di Pusat Kawalan Gas di Segamat, Johor.
Di situlah operasi PGU dipantau 24 jam sehari— bermula daripada loji pemprosesan gas di Kerteh Terengganu dan Chana Thailand, hingga sempadan selatan negara di Plentong Johor dan sempadan utara negara di Changlun Kedah.
Dua lagi sumber gas negara dibekalkan menerusi terminal regasifikasi di Sungai Udang, Melaka dan Pengerang, Johor bagi memenuhi keperluan negara.
Sensor-sensor di sepanjang 2,500 kilometer paip ini menghantar maklumat langsung ke pusat kawalan, memastikan tekanan stabil, bekalan selamat, dan pelanggan tidak terjejas walau sesaat menerusi sistem SCADA.
Saya menyaksikan sendiri betapa seriusnya amanah ini. PGU bukan sekadar kebijakan kejuruteraan. Ia adalah jantung negara kita.
Menyalurkan gas bagi kegunaan industri dan penjanaan elektrik di segenap pelusuk negara. PGU pernah menyumbang sehingga 75 peratus ‘fuel mix’ bagi penjanaan elektrik negara dan sekarang berada di sekitar 42 peratus.
PGU bukan milik korporat asing
Sebanyak 51 peratus saham PETRONAS Gas Berhad (PGB) dimiliki oleh PETRONAS—milik penuh negara melalui Akta Pembangunan Petroleum 1974. Selebihnya dipegang oleh KWSP, Kumpulan Wang Persaraan, Tabung Haji dan institusi rakyat Malaysia.
Lebih 75 peratus saham PGB dimiliki oleh entiti yang menjaga wang dan masa depan kita semua.
PGU milik rakyat Malaysia. Ia milik kita
Insiden kelmarin bukan alasan untuk takut kepada paip PGU – tetapi peringatan untuk lebih peka, lebih prihatin dan lebih menghargainya.
Saya percaya, bila masyarakat sedar bahawa ini milik kita, kita akan lebih bersatu menjaganya.
Kerana sebuah negara yang makmur, bermula dengan rakyat yang tahu apa yang mereka miliki—dan mempertahankannya secara bersama.
Semoga semua mangsa kebakaran dikurniakan kesembuhan yang sempurna, ganjaran atas kesabaran mereka, dan kemudahan dalam setiap urusan yang mendatang. Dan semoga keadilan akan tertegak buat semua pihak terlibat.
M EFFANDI M NOOR – HARAKAHDAILY 3/4/2025
Sumber asal: https://www.facebook.com/share/p/1Frzg99264/
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.











