Fokus bantu mangsa, bukan fikir isu sempadan

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Hantaran di laman Facebook oleh Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang bertujuan menjelaskan bahawa Putra Heights; tempat tragedi letupan dan kebakaran paip gas, tidak terletak di Parlimen Subang dibidas sebagai tidak kena pada tempatnya.

- Advertisement -

Penerangan Dewan Pemuda PAS Kawasan Johor Bahru berkata, walaupun bukan dalam kawasan parlimen berkenaan, namun dari perspektif geografi bandar, ia tetap berada di bawah Majlis Bandaraya Subang Jaya, bahkan poskod 47650 digunakan adalah Subang Jaya.

“Maka adalah sesuatu yang natural apabila rakyat menghubungi MP (Ahli Parlimen) Subang bagi mendapatkan informasi dan menyalurkan bantuan. Dalam keadaan kecemasan sebegini, tidak ada yang sempat untuk mengesahkan letak duduknya kawasan tersebut di dalam peta persempadanan Parlimen. Itu bukan keutamaan.

“Wong Chen dan pasukannya boleh sahaja membantu melayani dan menjelaskan setiap panggilan secara dalaman tanpa perlu membuat klarifikasi umum melalui hantaran di media sosial.

“Perbuatan ini menampakkan kelemahan Wong Chen dan PKR dalam menguruskan komunikasi krisis,” prihatin Penerangan Dewan Pemuda PAS KawasaN Johor Bahru dalam kenyataan itu.

Tambah kenyataan tersebut, Wong Chen seharusnya lebih berhati-hati dalam menyampaikan mesej kepada rakyat, terutama dalam situasi kecemasan.

“Kami turut mengambil kesempatan ini menyatakan kebersamaan dan doa kami kepada semua mangsa kebakaran yang berlaku di Putra Heights.

“Kita menyeru agar diberikan ruang dan masa untuk sisatan dilaksanakan dan menuntut tanggungjawab sepenuhnya sekiranya berlaku salah urus atau salah laku sehingga menyebabkan kejadian ini.

“Semoga Allah angkat kesusahan ini dan gantikannya dengan yang lebih baik,” tambah kenyataan tersebut lagi.

Terdahulu, Wong Chen mendakwa insiden letupan yang berlaku di Putra Heights itu tidak berlaku di Parlimen Subang, mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya dan Kinrara.

Sebaliknya, beliau mendakwa ia berlaku di sebahagian besar kawasan yang berada di dalam Parlimen Kota Raja, manakala sebahagian kecil berada di dalam Parlimen Puchong.

“Sebarang permohonan bantuan daripada mangsa kebakaran selepas ini haruslah disalurkan kepada Pejabat Parlimen Kota Raja dan Puchong,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/4/2025

- Advertisement -