
SERDANG: Kejadian melibatkan peniaga kecil menjual belon yang diambil tindakan secara kekasaran oleh penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Tunku Abdul Rahman, kelmarin amatlah menyedihkan.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali kesal peniaga-peniaga Melayu diperlakukan seperti itu, dirampas, dihalang dan macam-macam cara lain tanpa penyelesaian yang tidak akan merugikan para peniaga berkenaan.
“Bukan sahaja harta benda, tapi badan juga ada cedera. Apa yang saya lihat tadi, ibunya memaklumkan ada agak seriuslah, parah jugalah, boleh dikatakan daripada serangkai jenis patah dan juga di bahagian pinggang belakang, tulang belakang.
“Sangat sangat sedihlah. Saya cuma peliklah kenapa tidak ada cara tertentu oleh pihak penguasa yang di orang kata SOP (prosedur operasi standard)lah untuk macam mana untuk menangani penjaja-penjaja tidak berlesen.
“Sepatutnya dia dah ‘mark’ budak ni ataupun mangsa ni dua hari, tiga hari sebelum itu pergilah berjumpa dengan budak itu. Beri amaran kepada dia, esok kau kalau ada lagi, tak ada lesen aku tahan kau. Kalau kau tak reti nak ambil lesen, aku boleh tunggu engkau esok kat DBKL.
“Aku tolong uruskan kau dapat lesen. Budak itu meniaga belon. Tak ada payung, tak ada apa. Hanya belah malam berjalan bawa itu je. Bukan ada pondok bukan ada apa. Apa masalahnya nak biarkan dia meniaga begitu? Dia kejar orang itu macam penyamun.
“Budak itu baru lepas curikah apakah? Dia kejar budak itu lari. Lari lalu bergelutlah. Bilalah belonnya nak dirampas? Dia tak ada duit, dia bekerja sambilan sebagai ‘caddy’ saja.
“Bulan puasa tak ada orang banyak main golf. Jadi nak cari dia meniagalah sebelah malam. Jual belon,” ujarnya kepada media di lobi Hospital Serdang di sini hari ini.
Turut hadir Peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali serta Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard.
Penguat kuasa kata beliau, sepatutnya memeriksa dengan teliti dan mengadakan temubual sebelum memberi amaran dan menyusun tatacara tindakan sepatutnya bagi membolehkan mangsa menjalankan perniagaan secara sah.
Beliau mengimbau zaman Tan Sri Annuar Musa menjadi Menteri Wilayah Persekutuan yang tidak bersifat memaksa, sebaliknya mempermudahkan setiap peniaga mendapat lesen dengan pegawai berkaitan sendiri turun menemui peniaga.
Kesali beliau, para peniaga sebegitu adalah orang Melayu hakikatnya cuma mencari pendapatan ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang dan berdepan pula dengan para penguat kuasa yang kebanyakannya juga merupakan orang Melayu.
“Baru pakai uniform. Dah rasa megah tinggi dah. Tolonglah kita manusia sama saja. Bukan ada kelebihan untung kamu dapat jadi pegawai. Orang lain mohon beribu mungkin tak dapat. Jangan bangga sangat yang bongkak sangat jawatan itu,” ujarnya.
Beliau juga berharap kepada kedua ibu bapa mangsa dan juga mangsa agar jangan mudah terpedaya dengan rayuan daripada pihak tertentu untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah atau hendak pujuk dengan pampasan yang tidak seberapa sebenarnya.
“Kalau benda ini berterusan begini, kita terima saja maaf dan terima pampasan, pelaku-pelaku ni rasa seronok. Dia buat apa saja dibela oleh pihak kerajaan. Dan dia akan teruskan juga. Orang macam ni perlu ambil diambil tindakan, dia tidak layak untuk menjadi pasukan penguat kuasa. Memalukan, memalukan agensi kerajaan,” ujarnya. – *HARAKAHDAILY 30/3/2025*











