
ALOR SETAR: Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan setelah sebulan menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadan.
Malah Aidilfitri juga disyariatkan di dalam Islam sebagai ibadah dan bukannya tradisi kebudayaan, semata-mata.
Justeru itu, umat Islam khususnya di Kedah, dinasihatkan agar jangan berlebih-lebihan meraikannya.
Demikian antara nasihat yang dititipkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Md Nor, pada perutusan beliau sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
“Jangan kita keterlaluan hingga gugur segala keberkatan dan nilai-nilai takwa yang telah kita asuh pada diri sepanjang Ramadan.
“Jaga batas-batas pergaulan. Apabila sudah bertemu dan berhimpun, jaga aurat dan perlakuan. Jangan sekali-kali membazir,” pesannya lagi.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri tersebut, juga mengingatkan kepada pengguna jalan raya terutama di musim perayaan ini, agar lebih berhati-hati.
“Setiap tahun, banyak laporan berkenaan kemalangan yang meragut nyawa kita terima pada musim perayaan.
“Saya sendiri berasa sangat sedih dengan kejadian seperti ini, jadi pakat-pakat jaga dan patuhi undang-undang serta berhati-hati,” tambah beliau.
Dalam pada itu, pengguna jalan raya juga katanya, perlu bersabar dan jangan terburu-buru kerana sikap tersebut sering membawa padah.
“Jangan bawa kesedihan kepada keluarga yang sepatutnya berhari raya dengan gembira,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Sanusi juga menyeru agar pada hari yang mulia ini, nasib umat Islam yang sedang dizalimi regim Israel di Palestin jangan dilupakan.
Malah katanya, teruskan berdoa akan keselamatan mereka kerana
doa merupakan senjata ampuh bagi orang mukmin, apatah lagi di bulan mulia ini.
Seperkara lagi, kata beliau, pastinya Ramadan yang telah berlalu menjadi kerinduan kepada semua umat Islam dan dalam masa yang sama mengharapkan dapat bersua lagi di tahun hadapan.
“Tetapi kita sendiri tidak pasti adakah masih ada peluang untuk kita sampai ke bulan Ramadan tahun hadapan.
“Oleh itu, ambillah peluang untuk melaksanakan puasa selama enam hari pada Syawal ini, agar keberkatan Ramadan itu dapat kita kekalkan dalam hidup kita,” katanya lagi.
Sementara, beliau juga mengalu-alukan kepulangan anak-anak rantau berhari raya di kampung halaman dan kesempatan itu diharapkan dapat memberi keceriaan serta kegembiraan kepada ibu bapa dan keluarga.
“Oleh itu kepada semua warga Kedah Darul Aman, saya ucapkan, selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin. Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahhilhamd’,” ucap beliau. – HARAKAHDAILY 30/3/2025











