Perantau dinasihat rancang perjalanan pulang Aidilfitri

- Advertisement -

KOTA BHARU: Semua perantau yang akan memulakan perjalanan ke kampung masing-masing sempena Aidilfitri diminta merancang perjalanan dengan baik bagi mengelak kejadian tidak diingini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim berkata, pada masa yang sama pemandu khususnya mesti berada dalam keadaan sihat dan selesa.

“Kita memandu bersama keluarga akan lebih selamat apabila jiwa kita tenang dan sihat. Jika letih, berhentilah berehat dan jangan sekali-kali memandu dalam keadaan gopoh atau mengejar masa untuk segera sampai ke destinasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf DUN Tanjong Mas, di Madinah Ramadan di sini petang kelmarin.

Seramai 450 asnaf di DUN Tanjung Mas menerima sumbangan Aidilfitri berupa wang tunai dan sekampit beras sebagai persiapan menyambut Syawal.

Turut menerima sumbangan dan duit raya 38 orang guru-guru PASTI DUN Tanjung Mas.

ADUN Tanjong Mas itu juga berkata, perjalanan di musim perayaan ini  mengambil masa lebih lama berbanding biasa berikutan jumlah kenderaan yang tinggi di jalan raya menjelang Aidilfitri.

“Kerana itu sikap tolak ansur, bersabar amat penting ketika ini dan jangan meneruskan perjalanan sekiranya dalam keadaan mengantuk, berehat dahulu seketika,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 29/3/2025

- Advertisement -