
KANGAR: Seramai 97 pesakit di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) menerima sumbangan sempena Hari Raya Aidilfitri daripada Persatuan Wanita Cakna Arau (PERWANA) dalam usaha menyemarakkan kegembiraan Syawal dalam kalangan pesakit.
Penasihat PERWANA, Husna Hashim berkata, program kebajikan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif persatuan sejak lima tahun lalu bagi membantu golongan memerlukan di seluruh negeri Perlis.
“Kami ingin berkongsi sedikit kegembiraan dengan pesakit yang tidak dapat menyambut Aidilfitri di rumah bersama keluarga. Semoga sumbangan ini dapat memberi keceriaan kepada mereka,” katanya kepada _Harakahdaily_, di sini semalam.
Turut serta dalam program ini ialah penceramah Ustazah Noor Asma Abdullah yang juga Ahli Jawatankuasa PERWANA, bersama beberapa ahli persatuan lain.
Sumbangan diberikan kepada pesakit di wad Pediatrik, wad Obstetrik serta Wad C1 (Perubatan Lelaki), yang rata-ratanya terharu dengan keprihatinan ditunjukkan oleh NGO berkenaan.
PERWANA yang aktif sejak lima tahun lalu terus komited dalam menjalankan pelbagai program kebajikan khususnya untuk wanita dan golongan yang memerlukan di Perlis. – HARAKAHDAILY 28/3/2025











