
SETELAH tiga minggu bertarung nyawa akibat kemalangan jalan raya, Umar Haziq Rahimi, 16, menghembuskan nafas terakhir pada petang semalam, bertepatan dengan malam 27 Ramadan yang penuh keberkatan.
Urusan pengebumian Allahyarham telah dipermudahkan dengan kehadiran ramai sahabat dari Sekolah Menengah Agama Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah (Al Maad), Arau.
Mereka memenuhi ruang solat Masjid Al Islah Kampung Ngulang untuk menunaikan solat jenazah sebelum mengiringi perjalanan akhir arwah ke tanah perkuburan.
Umar Haziq merupakan seorang pelajar cemerlang dan aktif dalam kegiatan kokurikulum di sekolahnya.
Beliau dikenali sebagai seorang atlet berbakat yang sering mewakili sekolah dalam kejohanan olahraga peringkat negeri.
Selain itu, Umar juga aktif dalam persatuan pelajar dan sering terlibat dalam program keagamaan serta kemasyarakatan di sekolahnya.
Umar juga seorang yang berdisiplin, bertanggungjawab, dan sentiasa membantu rakan-rakan dalam pelajaran serta aktiviti sukan.
Keperibadiannya baik dan kepimpinan yang ditonjolkan menjadikan beliau seorang pelajar disayangi oleh guru-guru serta dihormati oleh rakan-rakan.

Sebelum ini, Umar koma selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Tok Kayaman pada awal Ramadan, yang turut meragut nyawa ayahnya, Rahimi Mat Rejab, 49, seorang bekas komando tentera.
Dalam kejadian tersebut, motosikal yang mereka naiki dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta, menyebabkan Rahimi maut di tempat kejadian, manakala Umar mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.
Pemergian dua beranak ini dalam bulan Ramadan yang mulia, hanya beberapa hari sebelum sambutan Aidilfitri, merupakan ujian berat bagi keluarga dan sahabat handai.
Semoga Allah SWT mengampuni dosa-dosa mereka dan menempatkan mereka dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Marilah kita bersama-sama menyedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham Umar Haziq dan ayahandanya, Rahimi Mat Rejab.
Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim turut menziarahi jenazah Umar semalam. – HARAKAHDAILY 28/3/2025













