Isu Kg Sg Baru: Elemen tekanan ke atas penduduk

Nuridah turut hadir ke Mahkamah Tinggi untuk bersama mendengar keputusan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi pada Selasa, 25 Mac membenarkan permohonan penduduk Kampung Sungai Baru menangguhkan sementara notis pengosongan premis memberikan sedikit kelegaan bagi yang memperjuangkan hak milik tanah mereka.

- Advertisement -

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, keputusan ini merupakan langkah penting dalam memastikan keadilan bagi penduduk yang terkesan.

Terutama ujarnya, mereka yang masih bertahan di rumah masing-masing dan enggan berpindah kerana merasa hak mereka dinafikan.

“Namun, saya tetap berasa bimbang dan sedih apabila melihat nasib keseluruhan 108 pemilik unit di Kampung Sungai Baru.

“Penangguhan ini hanya melibatkan tiga orang penduduk, manakala yang lain ada yang telah berpindah dan ada yang masih tidak mengambil apa-apa tindakan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada penduduk yang telah berpindah melakukannya secara sukarela atau kerana tekanan keadaan.

Katanya lagi, lebih menyedihkan apabila ada penduduk yang masih tinggal, tetapi berisiko kehilangan rumah mereka sebaik sahaja keputusan mahkamah dibuat pada 22 April nanti. 

Justeru, Nuridah turut menegaskan bahawa tanah Kampung Sungai Baru telah disahkan sebagai Penempatan Pertanian Melayu (MAS), sebuah status yang lebih tinggi daripada Tanah Rizab Melayu.

Oleh itu kata beliau, ia sepatutnya menjamin pemilikannya kepada orang Melayu dan tidak boleh dijual kepada bukan-Melayu.

“Ini membuktikan bahawa ada asas kukuh bagi penduduk untuk mempertahankan hak mereka dan menolak pemindahan secara paksaan.

“Jika tanah ini jatuh ke tangan pemaju yang tidak menghormati status MAS, ia akan membuka pintu kepada kapitalis untuk terus menguasai Kuala Lumpur dan menghakis ketuanan Melayu sedikit demi sedikit,” tegasnya.

Beliau turut berkata, berdasarkan laporan Astro Awani, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menyatakan, projek pembangunan ini adalah hasil rundingan tanpa paksaan, amat bercanggah dengan realiti di lapangan.

“Jika benar semuanya berdasarkan persetujuan bersama, mengapa masih ada penduduk yang terpaksa memfailkan rayuan di mahkamah? Ini membuktikan masih ada elemen ketidakadilan dan tekanan yang diberikan kepada mereka,” ujarnya.

Dalam kesempatan ini, Nuridah mengajak masyarakat untuk terus berdoa dalam 10 malam terakhir Ramadan agar penduduk Kampung Sungai Baru mendapatkan keadilan dan hak mereka terpelihara.

“Kita tidak mahu melihat ketamakan kapitalis mengorbankan nasib masyarakat setempat sehingga hak milik tanah umat Islam tergadai.

“Semoga keadilan ditegakkan, hak penduduk dipelihara, dan mereka diberikan kekuatan dalam perjuangan ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/03/2025

- Advertisement -