Segerakan siasatan penyebaran fahaman Komunis

Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ekspresi Anak Malaysia (Anak Malaysia) menggesa kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan segera dan tegas berhubung laporan polis yang dibuat oleh Tan Sri Rais Yatim berkenaan penyebaran fahaman Komunis di negara ini.

Presiden Anak Malaysia, Mohamad Rosharizan Mohd Rozlan berkata, laporan yang dibuat di Balai Polis Dang Wangi berkaitan video yang memaparkan kegiatan komunis oleh sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Persatuan Promosi Penyatuan Satu China di Malaysia merupakan satu perkara yang amat serius.

- Advertisement -

Katanya, fakta yang terkandung dalam video itu jelas menunjukkan kewujudan ancaman terhadap prinsip-prinsip asas kenegaraan yang termaktub dalam Rukun Negara.

“Anak Malaysia berpandangan bahawa pihak berkuasa mesti menyiasat secara menyeluruh kewujudan kumpulan atau individu yang mempromosikan fahaman Komunis di negara ini. Kewujudan sel-sel Komunis dalam institusi seperti sekolah dan universiti adalah ancaman yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Mohamad Rosharizan berkata, jika terbukti terdapat pihak yang bersubahat atau menyokong aktiviti ini, tindakan undang-undang yang sewajarnya perlu diambil bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

Menurutnya, langkah-langkah proaktif harus diambil bagi memastikan masyarakat, terutama golongan muda, diberikan pemahaman yang jelas mengenai sejarah dan bahaya fahaman komunisme.

Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, katanya Anak Malaysia menggesa kerajaan untuk bertindak segera sebelum keadaan menjadi lebih serius. Keselamatan dan kestabilan negara adalah tanggungjawab bersama yang tidak boleh dikompromi. – HARAKAHDAILY 26/3/2025

- Advertisement -