
KOTA BHARU: Kerajaan negeri mula menjalinkan kerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi memperkenalkan program Komuniti Berisiko Tinggi (KBT) di Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhammad berkata, ia sebagai langkah awal bagi mengekang penyalahgunaan dadah di negeri itu.
Beliau berkata, satu kawasan berisiko yang tinggi akan dikenal pasti bagi menjalani projek rintis dalam tempoh enam bulan untuk menilai keberkesanan pendekatan sinergi antara agensi.
“Justeru, satu inisiatif besar akan dilaksanakan melalui Kempen Jihad Perangi Dadah, yang akan melibatkan pelbagai agensi, jabatan, serta masyarakat secara kolektif.
“Beberapa langkah utama disepakati dalam mesyuarat antaranya penyatuan semua pihak, isu ini tidak boleh ditangani secara berasingan, kerjasama semua pihak, kunci kejayaan,” katanya.
Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra itu mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Polis Kelantan, Dato’ Mohd Yusuff Mamat.
Zamakhshari yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kelantan mahu meningkatkan lagi kempen kesedaran dan pendidikan terhadap kesan penyalahgunaan dadah masyarakat.
Selain itu kata beliau, pihaknya juga mencadangkan agar ujian dadah air kencing dijadikan syarat utama kepada belia dan beliawanis yang bakal melangkah ke alam perkahwinan.
“Langkah ini akan dibincangkan Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) sebagai satu bentuk pencegahan memastikan generasi baharu bebas dari pengaruh penggunaan najis dadah.
“Semua pihak perlu memainkan peranan agar kesedaran mengenai bahaya dadah dapat ditingkatkan, sekali gus membendung masalah ini daripada terus berleluasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/3/2024











