
TUMPAT: Majlis Iftar Perdana Keluarga Wakaf Bharu (Ifrah) Kali Ke-4 yang berlangsung malam kelmarin cukup meriah dengan kehadiran 1,500 orang peserta pada majlis itu.
Program diatur sempena 10 terakhir Ramadan itu diadakan di Padang Putri Saadong, Wakaf Bharu dekat sini yang dianjurkan bersama Pertubuhan Cakna Ummah Wakaf Bharu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd Rosli Abdullah berkata, program ini cukup berjaya berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari warga Wakaf Bharu bersama keluarga masing-masing untuk berbuka puasa di sini dan bertarawih beramai-ramai,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.
Sempena majlis ini juga diadakan penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada 100 orang anak-anak yatim dalam DUN Wakaf Bharu.
Beliau melahirkan rasa syukur di atas sokongan padu daripada pelbagai pihak, termasuk kehadiran ramai peserta dalam program tahun ini.
“Alhamdulillah, ini tahun keempat program ini diadakan dan kehadiran semakin meningkat kepada hampir 1,500 orang, berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau turut mengajak masyarakat untuk memanfaatkan 10 malam terakhir Ramadan dengan memperbanyakkan doa serta mengukuhkan hubungan kekeluargaan.
Dalam majlis tersebut, beliau turut mendedahkan peruntukan sebanyak RM500,000 telah disalurkan bagi menaik taraf padang rekreasi di kawasan ini bagi memastikan kemudahan awam terus dipertingkatkan.
“Tujuan utama kita adalah untuk memastikan rakyat sentiasa sibuk dengan perkara yang bermanfaat. Kesihatan dan keluarga perlu dijaga, dan inilah antara objektif program ini dianjurkan,” tambahnya.
Selain menu nasi daging singgang Kelantan disediakan, orang ramai turut membawa bekalan lauk-pauk masing-masing untuk dinikmati bersama keluarga.
Selepas solat tarawih, disediakan pula colek bagi memenuhi program ‘mmoreh’. – HARAKAHDAILY 26/3/2025












