Keajaiban zikir 100 kali: Perlindungan dan ganjaran tiada tandingan

- Advertisement -

SEGALA puji bagi Allah, Tuhan Yang Maha Penyayang. Zikir yang diajarkan oleh Rasulullah SAW ini bukan sekadar lafaz di bibir, tetapi sebuah kunci rahmat yang mampu membuka pintu keberkatan, keampunan, dan ganjaran yang tidak terhingga.

Rasulullah SAW bersabda:

- Advertisement -

“مَنْ قَالَ: لا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، فِي يَوْمٍ مِائَةَ مَرَّةٍ، كَانَتْ لَهُ عَدْلَ عَشْرِ رِقَابٍ، وَكُتِبَتْ لَهُ مِائَةُ حَسَنَةٍ، وَمُحِيَتْ عَنْهُ مِائَةُ سَيِّئَةٍ، وَكَانَتْ لَهُ حِرْزًا مِنَ الشَّيْطَانِ يَوْمَهُ ذَلِكَ حَتَّى يُمْسِيَ، وَلَمْ يَأْتِ أَحَدٌ بِأَفْضَلَ مِمَّا جَاءَ بِهِ إِلَّا أَحَدٌ عَمِلَ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ.”

“Sesiapa yang mengucapkan: 

“لَا إِلٰهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلٰى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ”

Tiada Tuhan melainkan Allah, Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu’ sebanyak 100 kali dalam sehari, dia mendapat ganjaran seperti membebaskan 10 orang hamba, dicatatkan baginya 100 kebaikan, dihapuskan daripadanya 100 dosa, dan dia dilindungi daripada gangguan syaitan pada hari itu hingga petang. Tiada seorang pun yang lebih baik amalannya melainkan seseorang yang melakukan lebih banyak daripadanya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 3293; Muslim, no. 2691)

Bacaan zikir ini pada malam al-Qadar

Zikir ini boleh diamalkan sepanjang siang atau malam, tetapi apabila dibaca dan berkebetulan pada malam Lailatul Qadar, gandaannya akan menjadi luar biasa.

Firman Allah SWT mengenai keistimewaan malam Al-Qadar:

“لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ”

“Malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah Al-Qadr, 97:3)

Malam Lailatul Qadar setara dengan 83 tahun 4 bulan atau 1,000 bulan. Ini bermakna, apabila seseorang membaca zikir ini sebanyak 100 kali pada malam Al-Qadar, pahala yang diraih akan berlipat kali ganda seolah-olah dilakukan selama 1,000 bulan.

Lima ganjaran hebat zikir ini

1. Pahala membebaskan hamba.

• 100 kali zikir = pahala seperti membebaskan 10 orang hamba.

• Pada malam Lailatul Qadar (bersamaan 1,000 bulan atau 30,000 hari):

 • 10 hamba x 30,000 hari = 300,000 hamba dibebaskan.

Kelebihan membebaskan seorang hamba:

Rasulullah SAW bersabda:

“مَنْ أَعْتَقَ رَقَبَةً أَعْتَقَ اللَّهُ بِكُلِّ عُضْوٍ مِنْهَا عُضْوًا مِنْهُ مِنَ النَّارِ.”

“Sesiapa yang membebaskan seorang hamba, Allah akan membebaskan setiap anggota tubuhnya daripada azab api neraka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 2517; Muslim, no. 1509)

Bayangkan, jika membebaskan seorang hamba sudahpun membebaskan kita daripada azab api neraka. Maka, bayangkanlah jika kita membebaskan 300,000 orang hamba. Sudah pasti 300,000 kali jaminan pembebasan daripada azab api neraka adalah anugerah Allah yang sangat luar biasa kepada kita.

2. Kebaikan dicatatkan.

• 100 kali zikir = 100 kebaikan dicatatkan.

• Pada malam Lailatul Qadar:

 • 100 kebaikan x 30,000 hari = 3 juta kebaikan dicatatkan.

Firman Allah SWT:

“مَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَلَنُحْيِيَنَّهُ حَيَاةً طَيِّبَةً ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ”

 “Sesiapa yang beramal soleh, sama ada lelaki atau wanita, dalam keadaan dia beriman, pasti Kami akan menghidupkannya dengan kehidupan yang baik. Dan pasti Kami akan memberi balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah An-Nahl, 16:97)

Dr. Wahbah Az-Zuhaili menegaskan bahawa hayatan tayyibah (kehidupan yang baik) di dunia dalam ayat di atas meliputi keberkatan dalam rezeki, ketenangan hati, dan perlindungan daripada keburukan, selain ganjaran besar di akhirat.

3. Keampunan dosa.

• 100 kali zikir = 100 dosa diampunkan.

• Pada malam Lailatul Qadar:

 • 100 dosa x 30,000 hari = 3 juta dosa diampunkan.

Benarlah sabda Nabi SAW:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ، وَمَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.”

“Sesiapa yang menghidupkan malam al-Qadr dengan keimanan dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosanya yang telah lalu. Dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan keimanan dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosanya yang telah lalu.” [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

4. Perlindungan daripada hasutan dan godaan syaitan.

Rasulullah SAW menjelaskan dalam hadis ini bahawa zikir ini menjadi perlindungan daripada gangguan syaitan sepanjang hari hingga ke petang.

Syaitan tidak akan mampu mendekati, apatah lagi menggoda seseorang yang menjaga zikir ini dengan penuh konsisten.

5. Zikir yang paling afdal.

Rasulullah SAW menegaskan:

“وَلَمْ يَأْتِ أَحَدٌ بِأَفْضَلَ مِمَّا جَاءَ بِهِ إِلَّا أَحَدٌ عَمِلَ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ.”

“Tiada seorang pun yang lebih baik amalannya melainkan seseorang yang melakukan lebih banyak daripadanya.”

Ini menunjukkan bahawa zikir ini adalah antara zikir yang paling afdal, dan mengulanginya lebih banyak kali hanya akan menambahkan ganjaran luar biasa.

Motivasi: Nilai kebaikan melampaui kekayaan dunia

Jika RM3 juta sudah dianggap kekayaan yang luar biasa di dunia, alangkah hebatnya ganjaran pahala membebaskan 300,000 hamba, mencatatkan 3 juta kebaikan, menghapuskan 3 juta dosa, dilindungi daripada syaitan, dan menjadi amalan zikir yang paling afdal. 

Ini bukan hanya sekadar nilai material di dunia semata-mata tetapi juga kelebihan di dunia dan kekayaan abadi yang menanti kita di akhirat.

Kesimpulan

Congakan ini hanyalah sekadar perkiraan matematik berdasarkan fakta yang disebut dalam hadis, sebagai motivasi kepada kita. Adapun ganjaran sebenar, ia adalah hak mutlak Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Bijaksana.

Hidupkanlah malam-malam Ramadan dengan zikir ini, wahai jiwa yang rindu akan kasih sayang Tuhan. Perhatikanlah perubahan kepada kebaikan yang banyak yang Allah akan anugerahkan selepas berlalunya Ramadan tahun ini. Semoga kelak, ketika tiba waktunya kita bertemu Allah, hati kita bersih, dosa kita terampun, dan amal kita diterima. 

DATUK DR AHMAD MARZUK SHAARY 
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa
26 Ramadan 1446
27 Mac 2025 – HARAKAHDAILY 26/3/2025

- Advertisement -