Zailah sumbang 1,200 helai baju prasekolah PASTI

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff menyumbang sebanyak 1,200 helai baju prasekolah PASTI  di 22 premis tersebut dalam Parlimen Rantau Panjang.

- Advertisement -

Sumbangan tahunan ini diberikan secara bergilir dengan pengkhususan berbeza setiap tahun.

Menurut Zailah, tahun ini sumbangan melibatkan uniform kokurikulum, manakala pada tahun lepas berupa baju persekolahan biasa, melibatkan kos keseluruhan RM30,000.

Menurut beliau, sumbangan tersebut merupakan dana daripada agensi kerajaan negeri yang disalurkan kepada setiap Ahli Parlimen untuk tujuan kebajikan rakyat, khususnya dalam aspek pendidikan.

“Kak Lah gunakan dana ini setiap tahun untuk menyediakan pakaian sekolah kepada anak-anak PASTI, supaya mereka tidak tercicir dan terus bersemangat untuk belajar,” katanya.

Selain pakaian sekolah, pelbagai keperluan lain turut disalurkan kepada penduduk, meskipun Ahli Parlimen dari PAS dan Perikatan Nasional tidak menerima sebarang peruntukan khas daripada Kerajaan Persekutuan.

“Biarpun tanpa peruntukan rasmi, kita tetap meneruskan agenda membantu rakyat. Saya juga berusaha mendapatkan sumbangan daripada orang ramai — sama ada dari Kelantan mahupun dari luar — yang ingin menyumbang untuk masyarakat Rantau Panjang,” jelas beliau.

Jelasnya lagi, beliau hanya bertindak sebagai perantara bagi memudahkan urusan penyampaian sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Dalam masa sama, Zailah turut menyediakan bakul Ramadan untuk diagihkan kepada penduduk kampung yang rata-ratanya bekerja sendiri seperti menangkap ikan sungai untuk dijual atau menoreh getah, dengan pendapatan amat terhad.

Prihatin dengan kesusahan masyarakat setempat, beliau turut mewujudkan Foodbank Rantau Panjang sebagai platform untuk orang ramai menyumbang dan membantu mereka yang kurang berkemampuan. – HARAKAHDAILY 24/3/2025

- Advertisement -