
ALOR SETAR: Pengorbanan para pendidik Sekolah Agama Rakyat (SAR) tidak dikesampingkan oleh kerajaan negeri terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak berapa hari lagi.
Berikutan itu seramai 1,692 guru-guru dari Sekolah Menengah dan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SMITI dan SRITI) termasuk Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) seluruh Kedah telah diraikan.
Mereka menerima sumbangan wakalah agihan akat pada majlis yang diadakan di Dewan Ukir Mall, di sini semalam.
Sumbangan ini merupakan inisiatif kerajaan negeri dengan peruntukan yang disalurkan melalui wakalah agihan zakat, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).
Majlis penyampaian yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, juga dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKNK, Dato’ Wira Isahak Murat.
Selain turut dihadiri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Sanusi pada ucapannya, menzahirkan rasa terharu atas pengorbanan guru-guru serta para pendidik yang sanggup menginfakkan tenaga di SAR, walaupun imbuhan bulanan diterima tidaklah seberapa.
Sedangkan katanya, kebanyakan yang memberi khidmat di sekolah tersebut, merupakan lepasan universiti sama ada dalam negara mahupun luar negara.
“Meskipun terdapat jurang perbezaan gaji berbanding institusi lain, kecekalan dan pengorbanan mereka dalam mendidik anak-anak mengenal Islam menjadi asbab keberkatan terus mengalir dalam kehidupan mereka,” kata beliau.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan, pihaknya yakin kebanyakan yang kekal di sekolah-sekolah ini seperti SMITI, SRITI, PASTI dan lain-lain SAR pastinya bukan kerana kewangan.
Sebaliknya ujarnya, adalah kerana ketenangan jiwa, kelapangan fikiran, keberkatan rezeki dan kebahagiaan yang tidak dapat dikecapi di tempat lain.
“Pihak pentadbiran atau pengurusan sekolah tidak pernah memaksa mereka (guru-guru) untuk kekal berkhidmat atau menyekat perkembangan kerjaya mereka.
“Sebaliknya ramai dari kalangan mereka yang mempunyai kelulusan tinggi serta layak memohon pekerjaan di tempat lain, sukarela dan tulus ikhlas mahu berkhidmat di sekolah ini,” kata ADUN Jeneri itu lagi.
Pada majlis itu juga, beliau turut merasmikan Pelancaran Aplikasi Experience Jerai Hill dan Fiesta Raya@Ukir Mall.
Sementara pada program berasingan, Sanusi turut hadir menyampaikan sumbangan kepada sukarelawan kampung, Daerah Pokok Sena.
Seramai 150 penerima yang terdiri daripada guru Al-Quran, mudim, juru mandi jenazah, bidan kampung, bomoh patah, penggali kubur, muallaf dan lain-lain menerima sumbangan pada majlis yang diadakan di Masjid Al-Akhyar, Mukim Tualang, petang semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Norizan Khazali; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Syed Khairol Anuar Syed Abidin dan Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhamad Radhi Mat Din.
Selain turut disertai ADUN Bukit Lada, Ustaz Salim Mahmood dan ADUN Bukit Pinang, Dato’ Romani Wan Salim. – HARAKAHDAILY 24/3/2025












