
BANGI: Kerajaan negeri perlu mempercepatkan penambahbaikan infrastruktur awam serta menangani isu pengurusan sampah yang semakin meruncing di Kampung Sungai Ramal Dalam bagi memastikan kesejahteraan penduduk setempat.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal, Ustaz Mohd Shafie Ngah berkata, masalah longgokan sampah yang berlaku itu telah mengakibatkan masalah seperti kehadiran anjing dan menjadi asbab kepada situasi bertambah buruk.
“Sedangkan saya dimaklumkan bahawa baru minggu lepas sampah di situ sudah diangkut. Ini baru sahaja beberapa hari, sudah kembali membuak-buak sampahnya. Bayangkan seminggu, sebulan dan berbulan-bulan.
“Apa nak jadi? Sampai bila kekal begini? Saya pun tiada jawaban. Namun saya utarakan cadangan saya kepada kerajaan negeri baru-baru ini, dalam sidang Dewan Negeri sebagai langkah segera.
“Sebelum kerajaan negeri mengambil masa untuk berfikir mencari idea penyelesaian, buat satu perkara ini. Satu perkara ini setidak-tidaknya boleh mengatasi sampah tabur, sampah serak dan sampah berlonggok di luar tong sampah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau dalam pada itu turut mencadangkan penambahan jumlah tong sampah di kawasan berkenaan bagi menyelesaikan masalah tersebut.
“Jika perlu 10 tong, letak 10 tong. Jika perlu 20, letak 20. Jika perlu tambah tempat orang kampung longgok sampah mereka, tambah. Kesian saya tengok Ketua Kampung dan Ahli Majlis kawasan ini.
“Setiap hari tertekan jiwa mereka (agaknya) dek keadaan sampah sebegitu rupa. InsyaAllah, pejabat kami akan desak lagi kerajaan negeri berbuat sesuatu, demi kebersihan negeri kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/3/2025











