
KUALA KEDAH: Program Tadarus Al-Quran anjuran Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Kedah telah mendapat sambutan memberangsangkan dalam kalangan ahli parti dan masyarakat setempat.
Ketua Muslimat PAS Kuala Kedah, Ustazah Azizah Abdullah berkata, majlis tadarus itu diadakan di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Anak Bukit, Pengkalan Kundur dan Kubang Rotan di dalam kawasan tersebut.
“Pada setiap kali Ramadan kami adakan majlis tadarus ini, kami bahagikan ke tiga DUN dan Alhamdulilah penyertaan sangat memberangsangkan,” kata beliau kepada Harakahdaily, semalam.
Katanya lagi, bermula pada 7 Mac lalu, majlis itu diadakan di DUN Anak Bukit, disusuli pada 15 Mac di DUN Pengkalan Kundur dan 22 Mac di DUN Kubang Rotan.
Sementara lokasi program pula ujarnya, adalah di masjid-masjid, untuk membolehkan ia disertai masyarakat setempat dan berhampiran.
“Setiap DUN kehadiran hampir 200 orang dan paling ramai hari ini merupakan penyertaan paling ramai, melebihi 200 orang,” tambahnya lagi.
Pada majlis itu juga kata Azizah, diadakan tazkirah ringkas berkenaan kelebihan Ramadan dan tuntutan amalan sepanjang bulan berkenaan.
Dalam pada itu beliau mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua pihak termasuk pengurusan masjid di tiga-tiga DUN yang membenarkan pihaknya mengadakan majlis tersebut.
“Saya mengharapkan program seperti akan kekal menjadi program tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Kuala Kedah dan penyertaan bertambah ramai pada tahun-tahun akan datang,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 23/3/2025












