
SEBUT hari raya, pastinya akan terbayang juadah istimewa yang selalu dihidangkan sama ada kepada tetamu mahupun keluarga di hari yang mulia.
Ketupat, umpama juadah ‘wajib’ yang mesti ada di pagi raya, walaupun menu lain seperti bihun sup, mee kuah, laksa, lontong atau lain-lain turut disediakan.
Di negeri sebelah utara, seperti Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, termasuk pantai timur iaitu Kelantan dan Terengganu, ketupat pulut daun palas menjadi pilihan.
Sama ada dimakan bersama rendang, gulai, susu pekat atau begitu sahaja, pastinya siap terhidang di pagi hari raya.
Tidak dinafikan, di zaman sekarang, daun palas tidaklah semudah diperolehi berbanding 15-20 tahun lalu, apatah lagi di musim perayaan.
Walaupun ia ada dijual di kedai-kedai tetapi stok amat terhad dan sekiranya lambat, pasti kehabisan selain terpaksa bersaing dengan pihak yang menjalankan perniagaan menjual ketupat palas.
Oleh itu, selalunya daun palas ini dibeli lebih awal dan disimpan untuk digunakan dua tiga hari menjelang hari raya.
Masalah yang timbul, kerap kali berlaku, daun palas kering, keras serta rosak dan impian untuk menyediakan juadah istimewa itu kepada keluarga pun kecundang.
Kekalkan kesegaran daun palas
Dengan penyimpanan yang betul, daun palas akan kekal elastik dan mudah digunakan ketika diperlukan, selain itu, hasil ketupat juga jadi sempurna.
Penyimpanan dengan cara yang betul, bukan sahaja daun palas itu mampu bertahan lama malah segar berbulan-bulan.
Pertama, daun palas itu perlu dicuci bersih dan dibuang segala kotoran yang ada, selain itu ketuk-ketukkan daun itu untuk keluarkan habuknya.
Digalakkan cuci dengan menggunakan tuala lembap, tetapi dengan air juga boleh, tetapi perlu sidai atau sangkut daun palas itu supaya air kering.
Selepas dicuci, potong semua batang yang keras pada daun palas itu dan pastikan supaya tidak terkoyak, kemudian bungkuskan menggunakan surat khabar atau plastik.
Daun palas yang telah dibungkus, boleh disimpan ke dalam peti sejuk dibahagian beku, walau bagaimanapun sekiranya jumlahnya hanya sedikit memadai disimpan di luar pada suhu bilik.
Daun palas yang disimpan itu, kadang kala akan bertukar warna daripada hijau kepada coklat, namun rasa asli ketupatnya tetap tidak berubah.
Cara ini sangat berguna kepada yang hendak buat persiapan lebih awal dan tidak mahu terburu-buru menjelang hari raya nanti.
Tips ini juga memberi kelebihan kepada mereka yang menyimpan daun palas dalam kuantiti yang banyak untuk tujuan perniagaan ketupat daun palas.
Oleh itu, apa lagi, selamat mencuba. – HARAKAHDAILY 22/3/2025











