
SHAH ALAM: Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad menyeru semua penduduk yang menetap dan bekerja di Selangor untuk menukar tempat mengundi mereka ke negeri ini.
Beliau menekankan bahawa langkah itu penting bagi memastikan setiap undi mencerminkan realiti sebenar rakyat yang bermastautin di Selangor, selaras dengan hak dibenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Hairan apabila ada pihak yang resah dengan seruan ini. Mereka menuduh ia tidak demokratik sedangkan pemimpin mereka sendiri bertanding di sana sini.
“Kenapa apabila rakyat biasa nak mengundi di tempat mereka bermastautin dijadikan isu?” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau menggesa agar tiada lagi penangguhan dalam menukar tempat mengundi bagi mereka yang tinggal, bekerja, dan membina kehidupan di Selangor.
“Jangan bertangguh lagi! Jika anda tinggal, bekerja dan membina kehidupan di Selangor, ikuti langkah mudah untuk menukar tempat mengundi dan ambil peranan dalam menentukan masa depan negeri ini. ‘Selangor Deserves Better’,” serunya.
Sebelum itu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Ab Halim Tamuri juga menyatakan harapan agar penyokong PAS yang bermastautin di Selangor mendaftar sebagai pengundi di negeri berkenaan menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
Beliau yakin jika lebih ramai penyokong PAS mendaftar sebagai pengundi di Selangor, tidak mustahil Perikatan Nasional mampu menawan negeri itu pada PRU akan datang.
Bagaimanapun, tindakan itu mendapat kritikan daripada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri R Ramanan.
Beliau menyifatkan gesaan tersebut sebagai tidak masuk akal dan menunjukkan bahawa PAS kehilangan sokongan di Selangor sehingga terpaksa bergantung kepada undi dari luar negeri.
Beliau menegaskan bahawa PAS sepatutnya berkhidmat kepada rakyat di kawasan mereka dan bukan mencari pengundi dari negeri lain untuk menentukan keputusan pilihan raya di Selangor.
Ramanan turut menekankan bahawa sebagai wakil rakyat di Sungai Buloh, beliau akan terus menjaga kepentingan serta kebajikan penduduk setempat, dan menganggap tindakan PAS tersebut sebagai tanda kehilangan kepercayaan rakyat Selangor terhadap parti itu. – HARAKAHDAILY 19/3/2025











