
SUBANG: Guru dan pendidik memainkan peranan penting dalam mencorak kepimpinan negara pada masa hadapan, kata Setiausaha PAS Kawasan Subang, Fadh Ibrahim.
Beliau berkata, tanggungjawab mendidik bukan hanya terletak pada ibu bapa, tetapi turut digalas oleh guru di sekolah sebagai pelaksana sistem pendidikan negara.
“Bermula dari rumah peranan mendidik dilaksanakan oleh ibu bapa, sementelah di sekolah para guru pula yang mengambil alih peranan tersebut.
“Justeru peranan para guru tidak kurang peri pentingnya dalam proses kemenjadian anak-anak melalui sistem pendidikan negara.
“Tanggungjawab besar seorang pendidik ini perlu ditunaikan dan digalas dengan penuh dedikasi,” katanya sempena program anjuran Pertubuhan Sahabat Al-Farouq (SAF), di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, setiap sesi pembelajaran harus diisi dengan kasih sayang bagi memastikan keberkesanan proses pendidikan.
“Setiap sesi pembelajaran di dalam kelas yang diperuntukkan masanya kepada para pendidik, harus disempurnakan dengan terapan kasih sayang sepanjang proses pengajaran.
“Nilai kasih sayang itu pasti dapat dirasa di dalam hati anak-anak melalui perhatian yang diberikan dan ketulusan jiwa seorang pendidik sewaktu mencurahkan ilmu kepada mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2025











