Guru mesti jadi pejuang tanam nilai Islam kepada murid

- Advertisement -

SUBANG: Pendidikan adalah asas utama dalam membina generasi berilmu dan berakhlak mulia, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah.

- Advertisement -

Menurut beliau, peranan pendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi membentuk jiwa anak bangsa agar menjadi insan yang beriman, berakhlak dan mampu memimpin negara di masa hadapan.

“Ilmu adalah pinjaman yang ada di dada kita. Bila sampai masa kita sudah tidak berupaya, kita akan rindukan pengalaman semasa berada di dalam bilik darjah.

“Berikan segala apa yang kita ada kepada anak-anak yang menumpang semasa di dalam bilik darjah,” katanya ketika merasmikan Majlis Iftar Dana Pendidikan anjuran Pertubuhan Sahabat Al-Farouq (SAF), di sini baru-baru ini.

Bekas profesor dan Naib Canselor di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata setiap anak yang dititipkan kepada para pendidik perlu disayangi dan dibimbing dengan kasih sayang kerana mereka adalah permata negeri dan negara.

“Anak-anak yang sampai kepada kita adalah anak-anak yang Allah SWT hantar kepada kita. Bangkit dan berjuang, beri yang terbaik daripada hati kita agar jiwanya 1,000 kali lebih baik daripada kita.

“Ajari mereka agar mereka kenal Tuhan, kenal Nabi dan agamanya, sayang pada bangsanya. Bangsa Melayu syarat agama mestilah Islam yang merupakan kelebihan yang Allah SWT berikan kepada bangsa.

“Hari ini anak-anak dimomokkan dengan segala yang merosakkan, jadi tanam dalam bilik darjah agar mereka menjadi panglima kita,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu.

Mengimbau perjalanan hidupnya, Haim Hilman berkongsi bagaimana beliau dibesarkan dalam suasana serba kekurangan, namun kemiskinan tidak menjadi penghalang untuk beliau menanam cita-cita tinggi hingga mencapai kejayaan seperti hari ini.

“Dahulu mungkin kita tinggal di kampung dengan kehidupan yang sederhana. Itu kenangan yang Allah SWT aturkan untuk kita ingat asal usul kita. Maka, hari ini mungkin kita datang dari seluruh pelusuk negara untuk bebaskan segala kesusahan hidup melalui jalan pendidikan.

Beliau menyeru agar lebih banyak Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) dibuka bagi memenuhi keperluan pendidikan anak bangsa.

“Kita semua mesti berjanji untuk menjadi pejuang utama dalam bidang pendidikan. Perlu bergerak dengan segala kekuatan yang ada. Buka PASTI dan SRITI sebanyak yang mungkin. Keputusan hasil pembelajaran anak-anak pelajar mestilah seperti jangkaan ibu bapa,” katanya.

Beliau turut mengingatkan para pendidik bahawa pendidikan negara semakin kehilangan hala tuju apabila wujud ketakutan dalam menanam nilai keislaman kepada pelajar.

“Pendidik yang hadir untuk menjadi tunjang utama kepada pembangunan pendidikan dalam negara kita. Negara kita telah hilang hala tuju pendidikannya. Mahu ajar pelajar-pelajar laungkan kalimah takbir ‘Allahu Akbar’ pun sudah takut.

“Pendidik perlu pastikan negara ini ditadbir oleh orang yang boleh bertanggungjawab kepada agamanya,” serunya membangkitkan motivasi.

Walau bagaimanapun katanya, umat Islam tidak boleh hanya tertumpu kepada aliran agama semata-mata, tetapi juga perlu membangun dalam bidang profesional jika dalam konteks kemajuan pendidikan negara.

“Mereka juga harus dipersiap untuk menjadi teknokrat dalam bidang profesional yang dipilih, syaratnya mesti faham agama. Ada agama dalam hati nurani mereka walau apa jua tanggungjawab yang mereka galas,” katanya.

Justeru, beliau mengingatkan bahawa pendidik dan masyarakat adalah mata rantai perjuangan agama yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.

“Mesti pasakkan kalimah tauhid dalam dada anak bangsa kita. Jangan tunggu dan mengharapkan pujian diberikan kepada kita. Santunilah anak-anak kita dengan penuh hikmah dan kasih sayang,” katanya. – HARAKAHDAILY 19/3/2025

- Advertisement -