Pendidikan adalah dakwah di kawasan bukan majoriti Islam

- Advertisement -

SUBANG: PAS Kawasan Subang menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh pendidikan Islam di kawasan tersebut, walaupun lebih daripada 70 peratus penduduknya bukan beragama Islam.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir, berkata tanggungjawab memartabatkan pendidikan Islam perlu digerakkan secara berterusan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat setempat.

“Ini bukan alasan untuk kita berpeluk tubuh sahaja. Tanggungjawab memartabatkan Islam melalui pendidikan pra-sekolah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) serta Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) perlu kita kembangkan.

“Dengan sokongan NGO dan masyarakat setempat, kita akan terus memenuhi tuntutan ini. Kita mesti tawarkan pendidikan yang berkualiti dengan pamerkan tahap hasil kerja yang juga berkualiti.

“Potensi ini perlu kita kembangkan untuk mencapai jangkauan kejayaan yang lebih besar pada masa depan,” katanya dalam ucapan Majlis Iftar Dana Pendidikan anjuran Pertubuhan Sahabat Al-Farouq (SAF), di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah dan Pengerusi SAF, Muhammad Farhannaim Jamaluddin serta warga pendidik di sekitar Subang.

Muhammad Farhannaim turut mengucapkan terima kasih kepada penyumbang yang telah menaja kemudahan seperti kerusi dan meja bagi menjayakan majlis tersebut.

Beliau berkata, dana yang diperoleh akan digunakan untuk membangunkan fasiliti PASTI dan SRITI di Subang bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan dalam persekitaran yang lebih kondusif. – HARAKAHDAILY 19/3/2025

- Advertisement -