
KOTA BHARU: Seramai 37 asnaf sekitar Kota Bharu menerima sumbangan tunai RM200 dan bakul makanan bernilai RM100 menerusi program Maidatul Rahman Ramadan.
Program berkenaan anjuran Permodalan Kelantan Berhad (PKB) dan Pusat Perubatan An-Nisa’ yang merupakan anak syarikat milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).
Pengerusi PKB, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Ahmad Yakob diberi penghormatan untuk menyampaikan sumbangan berkenaan.
Ketika berucap pada majlis itu beliau menekankan kepentingan menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran sebagai panduan hidup sepanjang Ramadan.
“Dalam bulan yang penuh keberkatan ini, manfaatkanlah ‘maidah’ atau hidangan daripada Allah, iaitu al-Quran.
“Al-Quran adalah petunjuk terbaik bagi manusia, mencakupi aspek muamalat, munakahat, syariah, akhlak, tasawuf hingga urusan pentadbiran dunia,” katanya.
Menurutnya, rebut ganjaran besar pahala pada bulan mulia ini sesungguhnya kerana ia datang hanya setahun sekali.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Datuk Zamri Ismail memaklumkan program tersebut adalah sebahagian daripada usaha PKB dan Pusat Perubatan An-Nisa’ untuk berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.
“PKB memainkan peranan penting dalam menawarkan perkhidmatan gadaian Islam melalui Ar-Rahn, yang telah terbukti menjadi sistem kewangan lestari dalam membantu masyarakat.
Menurutnya lagi, Pusat Perubatan An-Nisa’ menerima sumbangan katil pembedahan (OT) daripada Infra Quest Sdn Bhd (IQSB) yang diharapkan dapat meningkatkan kemudahan rawatan serta memberikan motivasi kepada petugas kesihatan.
Turut hadir, Pengerusi Pusat Perubatan An-Nisa’, Dato’ Mumtaz Md Nawi, Ahli Lembaga Pengarah syarikat anak PKINK, Pengurus Besar PKB Hassan Shukri Hussein dan Pengurus Besar Pusat Perubatan An-Nisa’ Nursabati Pauzi. – HARAKAHDAILY 19/3/2025












