Bubur Lambuk Mak Ngah Raden ‘sedak dooh’

- Advertisement -

BENTONG: Bubur lambuk yang diedarkan secara percuma oleh PAS Kawasan Bentong petang semalam, diakui antara yang terpaling ‘sedak dooh’ di dalam DUN Pelangai.

- Advertisement -

Bubur lambuk resepi istimewa Mak Ngah Raden terkenal dengan keunikan rasanya, pekat dan likat sentiasa menjadi sebutan dan rebutan warga Pelangai.

Mak Ngah Raden atau nama sebenarnya, Raden Maimunah ketika berkongsi rahsia memasak bubur lambuk istimewa itu berkata, tidak ada apa yang menjadi rahsia luar biasa menyediakan bubur lambuk kecuali memasak dengan ikhlas dari hati.

“Tidak ada rahsia luar biasa. Masak dengan ikhlas dari hati, insya-Allah kita masak apa pun, insya-Allah sedap,” kongsinya

Selain itu ujarnya lagi, memasak bubur lambuk perlu banyak bersabar kerana ia tidak semudah yang dilihat apatah lagi bahan-bahannya juga pelbagai dan perlu penyediaan awal.

“Bahan-bahan perlu disiapkan awal, nanti tak kalut. Banyak juga rempah ratusnya, beras, ikan bilis, ubi kentang, daun paku lambuk atau kalau tak ada boleh ganti dengan sawi, kemudian santan.

“Masak dalam periuk besar kena pandai kacau, bukan sembarangan kacau. Tepi-tepi periuk tu kena sentiasa dikaut dan dibalik-balikkan. Tak kena gaya, boleh hangus, tak jadi bubur lah dah,” ujar ibu tunggal itu berkongsi cara memasak bubur lambuk.

Sementara itu, pengarah program agihan bubur itu, Faezah Mohammad berkata, tahun ini lajnah kebajikan hanya mampu menyediakan bajet bubur lambuk sebanyak 300 bekas Sahaja, mengambil kira faktor kos dan tenaga kerja.

“Dengan bajet yang ada ini, kita boleh buat dalam 300 bekas dan daripada jumlah itu kita agih-agihkan sebanyak 75 bekas ke setiap cawangan di DUN Pelangai, alhamdulillah tak sampai setengah jam bubur lambuk Mak Ngah Raden ‘sold out’,” katanya.

Seorang penerima, Siti Rohani, 45, berkata setiap tahun dia menunggu-nunggu bubur lambuk istimewa tersebut dan tahun ini gembira mendapat bubur yang menjadi kegemarannya itu.

“Setiap tahun saya memang ternanti-nanti peluang nak makan bubur ni. Bubur lambuk Mak Ngah Raden memang ada rasa tersendiri, susah nak jumpa di tempat lain,” katanya.

Agihan bubur lambuk secara percuma itu merupakan tradisi tahunan PAS Kawasan Bentong dan pada tahun ini DUN Pelangai menjadi sasaran pilihan dalam usaha PAS Teraju Pahang di samping menyemarakkan semangat kebersamaan dan amalan bersedekah. – HARAKAHDAILY 18/3/2025

- Advertisement -