Masjid hampir penuh gara-gara sahur sekampung

- Advertisement -

KALABAKAN: Suasana di Masjid Nurul Huda, Tanjung Batu, Tawau awal pagi tadi hampir penuh gara-gara program qiamullail dan sahur sekampung.

- Advertisement -

Program anjuran Pemuda PAS Kalabakan, badan bukan kerajaan (NGO) Semarak Kasih Tawau dan Masjid Nurul Huda itu mendapat sambutan hampir 200 orang, di luar jangkaan penganjur.

Program yang bermula seawal jam 3.00 pagi itu dimulai dengan solat tahajud secara berjemaah yang diimamkan oleh Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Kalabakan merangkap Naib Dewan Pemuda PAS kawasan Ustaz Mohd Syafiq Sallehudin diikuti dengan bacaan Al Quran dan doa munajat.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kalabakan, Ahmad Dullah menyatakan penghargaan dan sokongan penuhnya terhadap penganjuran program tersebut.

Katanya, program itu sangat bermakna kerana mampu mendidik jiwa masyarakat untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah di samping memupuk semangat kebersamaan.

“Menghidupkan malam dengan berqiamullail serta sahur secara berjemaah dapat melahirkan rasa kasih sayang dan ukhwah yang erat.

“Suasana syahdu jelas terasa dengan alunan doa yang mendayu-dayu, memecah keheningan malam, membuatkan setiap yang hadir lebih dekat kepada Ilahi,” ujarnya.

Tambahnya, program yang diakhiri dengan solat subuh berjemaah dan tazkirah pendek itu, jelas memperlihatkan kekuatan ukhuwah yang terjalin di antara PAS dengan penduduk Kampung Tanjung Batu khususnya yang tinggal di sekitar Masjid Nurul Huda.

Salah seorang peserta, Ahmad Nizar, 15, meluahkan rasa teruja kerana dapat menyertai program itu.

“Ini pengalaman yang sangat bermakna buat saya kerana dapat berqiamullail bersama rakan sekampung.

“Secara tidak langsung, kami dapat menikmati juadah sahur bersama dan ini menguatkan rasa kebersamaan dalam diri kami,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/3/2025

- Advertisement -