Apakah tatakelola MB Kedah yang menyimpang itu?

- Advertisement -

ALOR SETAR: Bekas Ketua Pengarah Hal Ehwal Khas (JASA), Dr Zaharuddin Sani Sabri digesa memberi penjelasan mengenai kegagalan tatakelola Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mentadbir negeri sehingga didakwa menjadi satu liabiliti.

- Advertisement -

Setiausaha Politik Menteri Besar, Zulkifli Yahaya berkata, Menteri Besar tiada sebarang kuasa untuk membelanjakan duit kerajaan walau sesen pun tanpa melalui belanjawan yang diluluskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Nak belanja satu sen duit kerajaan negeri mestilah melalui bajet yang telah diluluskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN). Duit kerajaan tidak boleh diguna untuk bayar gaji kelab bola sepak negeri.

“MB tiada kuasa mutlak untuk anugerah projek pada pemaju Loji Rawatan Air (LRA). Itu sekadar beberapa contoh bagaimana seorang MB tidak boleh mengabai tatakelola,” jelas beliau pada satu kenyataan, di sini.

Mengulas lanjut katanya, tatakelola bermaksud tatacara mengelola, mentadbir atau mengurus, sementara dalam konteks kerajaan tentulah tatakelola dalam urusan pentadbiran kerajaan.

“Siapa yang naik pimpin kerajaan, tertakluk pada tatakelola sedia ada. Sekali lagi saya bertanya, tatakelola mana satu yang Sanusi langgar? Atau buat kerja tiada tatakelola?” soal beliau lagi.

Zulkifli berkata demikian bagi membidas dakwaan Dr Zaharuddin yang menyentuh isu tatakelola dan mengaitkan Menteri Besar Kedah melalui rencananya yang mengulas topik ‘Siapa mampu cabar Sanusi di Kedah?’

Pada rencananya yang disiarkan media, semalam, bekas Ketua Pengarah JASA itu mendakwa Sanusi dilihat sebagai liabiliti kepada PAS kerana kelantangannya, tatakelola, isu peribadi dan gagal dalam pentadbiran.

Justeru kata Zulkifli, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 lalu, gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah menggunakan pelbagai instrumen kerajaan untuk mencari ‘salah’ Sanusi, terutama  berkaitan integriti.

“Letih mereka mengorek dan lenguh jari mereka selak kitab tatakelola untuk mencari salah Sanusi tapi tak jumpa. Cuma satu yang cuba dikait dengan Akta Hasutan. Itupun ‘meloroih’ di tengah jalan,” ulasnya.

Beliau juga menegaskan, Kesultanan Kerajaan Negeri Kedah moden bermula sejak 1,136 Masihi dan sepanjang tempoh 889 tahun tersebut, negeri itu telah mempunyai pelbagai juzuk tatakelola pentadbiran yang diterjemah secara bertulis, mahupun tradisi.

Malah tambah bekas Kolumnis Harakah ‘Nota Utara’ itu, tatakelola tersebut diperbaiki saban waktu mengikut rencah biasa manusia untuk memperbaiki tamadun.

“Jadi saya nak tanya Dr Zaharuddin lagi untuk kali ketiga, apakah tindakan Sanusi yang menyimpangi tatakelola dalam pentadbiran Kerajaan Negeri? Sila jawab,” gesanya lagi. – HARAKAHDAILY 17/3/2025

- Advertisement -