
KALABAKAN: “Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi ia juga peluang untuk kita mendisiplinkan diri termasuk dalam aspek pemakanan,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Ahmad Dullah.
Justeru, beliau menyarankan, masyarakat mengamalkan makanan yang berkhasiat serta mengelak berbuka dengan juadah berlebihan yang akhirnya menyebabkan pembaziran.
Menurutnya, masyarakat perlu memanfaatkan bulan Ramadan dengan memperbanyakkan amal ibadah serta menjaga kesihatan sepanjang bulan yang mulia ini.
“Jagalah kesihatan agar kita dapat menjalani ibadah dengan lebih sempurna sepanjang Ramadan ini,” katanya semasa edaran bubur percuma sempena program Sinar Kasih Ramadan, di sini kelmarin. (Foto atas)
Sebanyak 660 bekas bubur telah dimasak secara beramai-ramai dan diedarkan kepada para penduduk yang melalui di bulatan Kampung Pukat.
Turut hadir Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS negeri merangkap Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Kalabakan, Norjannah Jam Jam.
Menurut Ahmad, program tersebut bertujuan untuk menggalakkan budaya berkongsi rezeki dan berbagi juadah berbuka sesama masyarakat.
“Program ini merupakan program tahunan PAS Kalabakan bagi menggalakkan amalan bersedekah di bulan Ramadan.
“Selain itu, dengan program ini dapat mempereratkan hubungan silaturrahim antara PAS dengan penduduk setempat di samping menambah hidangan menu berbuka puasa,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Kalabakan. – HARAKAHDAILY 16/3/2025











