
DULU, mereka berpidato di pentas rakyat, menghunus lidah lebih tajam daripada pedang. Kata mereka, bailout itu najis korporat, sisa busuk kapitalisme yang melingkupkan harta negara demi mengkayakan kroni. Mereka mengutip bait-bait keadilan, mengecam dengan suara lantang, seakan pahlawan tanpa takut dan gentar.
Hari ini, lidah yang sama menari dengan irama baharu. “Ini bukan bailout,” kata sang Menteri, “ini pelaburan strategik”. Ah, sungguh indah permainan kata, sungguh licik putar alamnya! Ketika wang rakyat mengalir ke kantung syarikat yang tenat, dikatakan ia bukan menyelamat, tetapi merancang. Saat poket yang koyak dijahit dengan benang dana awam, mereka mengangkat naratif seolah-olah itu strategi bijaksana.
Sejarah tak pernah lupa, tapi mereka cepat alpa
Masih ingatkah kalian bagaimana suara-suara ini suatu ketika dulu berteriak di jalanan, mengherdik bailout kerajaan kepada syarikat-syarikat tertentu? Masih segar dalam ingatan bagaimana mereka melaknat langkah menyelamatkan Proton, Renong, dan MAS, sambil mencanang retorik bahawa kapitalisme kroni harus dikuburkan?
Mereka menghujahkan bahawa kerajaan tidak sepatutnya mencampuri urusan korporat, kerana yang lemah harus mati dan yang kuat harus terus hidup. “Survival of the fittest,” kata mereka waktu itu. Tapi kini, tangan yang dulu menghayun cangkul penggalian kubur kapitalisme kroni, tangan itulah yang menyuapkan gula ke mulut naga korporat yang sedang nyawa-nyawa ikan.
Hipokrasi yang ditatah dengan emas retorik
Bukankah ini wajah sebenar mereka? Bila mereka di luar gelanggang kuasa, ‘bailout’ itu satu dosa besar. Tapi bila tangan mereka menggenggam tampuk pemerintahan, ‘bailout’ boleh disolek menjadi ‘pelaburan strategik’ demi ‘kepentingan negara’.
Betapa lidah mereka menjadi alat kepalsuan, menyulam janji demi laba politik, tetapi mengorbankan prinsip yang mereka laungkan. Bila menguntungkan mereka, ia dinamakan strategi. Bila merugikan, ia dinamakan kebobrokan.
Rakyat tidak bodoh, kebenaran tidak bisa ditipu
Mereka fikir rakyat ini sekadar pelanduk yang akan lupa jerat, atau kerbau yang mudah dicucuk hidung. Mereka silap. Kebenaran tetap kebenaran, meski diselimuti sutera propaganda. Penyelewengan tetap penyelewengan, meskipun dibalut dengan istilah canggih yang memukau telinga.
Hari ini, mereka cuba menutup bau bangkai dengan haruman retorik. Tapi bangkai tetap bangkai, walau disembur minyak wangi yang paling mahal.
Azan bergema di fajar sunyi,
Syahdu bertadarus di bulan mulia,
Bila berkuasa hukum menyepi,
Dosa dahulu jadi pahala
Bayu menderu di hujung senja,
Ranting rapuh jatuh ke bumi,
Tika kuasa jangan dusta,
Esok rebah disumpah generasi
Pagi berjanji petang berdusta,
Indah berslogan lunak bersuara,
Ludah ke langit jatuh ke muka.
Terkambus diri bersama noda.
Sejarah sedang mencatat, rakyat sedang memerhati.
DATUK DR. AHMAD MARZUK SHAARY
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa – HARAKAHDAILY 15/3/2025











