Exco turun padang lakukan pantauan Bazar Ramadan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Rondaan dan pemantauan ke Bazar Ramadan akan dilakukan bagi memastikan para peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan, demikian kata Mejar (B) Mansor Zakaria, di sini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Negeri itu berkata, setakat ini pihaknya telah membuat lawatan ke bazar-bazar Ramadan untuk memastikan peraturan itu dipatuhi.

“Setakat Bazar Ramadan yang saya lawati, Alhamdulillah memuaskan, cuma beberapa peniaga yang masih tidak memakai apron dan penutup kepala,” katanya kepada Harakahdaily, di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau sangat berpuas hati terhadap komitmen yang ditunjukkan oleh peniaga Bazar Ramadan, Peremba di bawah Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) yang menunjukkan disiplin baik.

“Peniaga di Peremba, semuanya dibekalkan apron oleh MBAS. Jadi nampak cantik dan kemas serta semua peniaga juga memakai tutup kepala,” tambah beliau.

Sementara berkaitan kebersihan kata Mansor, semua tempat beliau lawati menunjukkan disiplin yang memuaskan termasuk susunan makanan di meja jualan.

Dalam pada itu pada setiap kunjungannya, beliau akan mengedarkan sehelai apron setiap gerai yang berlambangkan Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.

Mansor juga memaklumkan pada 17 Mac depan, pihaknya bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah akan berkunjung ke Bazar Ramadan di Jitra untuk meninjau perkembangan di sana.

Ujarnya, selain untuk memastikan para peniaga melaksanakan arahan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan JKN, taklimat serta penerangan kepentingan menjaga kebersihan sebagai penyedia dan penjual makanan juga akan diadakan.

“Peniaga di luar kawasan bazar seperti di tepi-tepi jalan juga akan dipantau oleh penguatkuasa PBT. Hal ini penting kerana untuk memastikan kebersihan agar tidak berlaku keracunan makanan,” tegasnya.

Peniaga di luar kawasan bazar juga kata beliau, perlu mematuhi peraturan seperti telah menerima suntikan kesihatan, mengikuti kursus penyediaan makanan, selain pakai apron dan tutup kepala ketika berniaga.

Setakat ini terdapat 33 Bazar Ramadan  di bawah PBT di 12 daerah seluruh Kedah yang menjalankan operasi perniagaan sepanjang Ramadan tahun ini – HARAKAHDAILY 12/3/2025

- Advertisement -