Kaedah BNPL jerat golongan muda berhutang

Musoddak Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Senator Musoddak Ahmad melahirkan kebimbangan dengan kaedah ‘Beli Sekarang, Bayar Kemudian’ (Buy Now Pay Later) atau BNPL, platform aplikasi pembayaran digital yang dikhuatiri menjerat golongan muda untuk berhutang.

Menurutnya, data menunjukkan peningkatan jumlah transaksi BNPL dan akan mungkin terus meningkat pada tahun hadapan.

- Advertisement -

“Oleh itu, adakah mekanisme khusus yang dilaksanakan untuk meneliti perkhidmatan ini dan apakah Kementerian Kewangan membuat pemantauan sama ada perkhidmatan ini patuh pada syariah,” katanya ketika sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini.

Menjawab pertanyaan, Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mengakui bahawa kadar penggunaan BNPL yang semakin meningkat menimbulkan kebimbangan terhadap tahap hutang isi rumah.

“Namun, peningkatan transaksi BNPL masih terkawal. Setakat Disember 2024, pinjaman BNPL sebanyak RM2.8 bilion hanya merangkumi 0.2 peratus daripada keseluruhan hutang isi rumah di negara ini.

“Kadar jumlah BNPL tertunggak juga terkawal, iaitu RM82.6 juta atau 2.9 peratus daripada keseluruhan nilai kredit BNPL,” katanya.

Terdahulu, Musoddak meminta Menteri Kewangan II menyatakan usaha bagi mengawal aktiviti agensi pemberi kredit bukan bank seperti perkhidmatan BNPL. – HARAKAHDAILY 11/3/2025

- Advertisement -