
KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nazrul Nazir mencabar Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mohd Fauzi Fadzil mendedahkan negeri serta ahli parlimen yang didakwa telah menyalahgunakan peruntukan projek tebatan banjir
Fauzi juga digesa menarik balik tuduhan tersebut kerana dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan mencerminkan ketidaktahuan individu yang mengaku bekerja di Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengenai tatacara serta garis panduan projek persekutuan.
“Projek ini adalah di bawah Persekutuan, diuruskan oleh Persekutuan di bawah Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) dan kontraktornya dilantik oleh Persekutuan. Tuduhan bahawa kerajaan negeri salah guna peruntukan tersebut adalah mengarut dan membodohkan.
“Sedangkan faktanya, peruntukan tersebut diuruskan oleh Persekutuan, bukan negeri! Takkan Pegawai PMO tak tahu tatacara dan garis panduan projek Persekutuan?
“Di bulan Ramadan, tidak perlu menjadi penyambung fitnah atas perkara yang kamu sendiri tiada sumber yang sahih atas dakwaan kamu,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, tular apabila Mohd Fauzi Baru dalam satu podcast mendakwa salah sebuah negeri SG4 telah menyalahgunakan peruntukan projek tebatan banjir untuk diberikan kepada ahli parlimen di negeri berkenaan.
“Ada satu daripada negeri SG4 ini telah menerima peruntukan untuk tebatan banjir. Tapi duit tebatan banjir itu dia tak gunakan untuk buat tebatan banjir. Sebab duit ini kena lalu kerajaan negeri. Kerajaan negeri kena buat tebatan banjir ini, panggil kontraktor dan sebagainya.
“Tapi dia tak guna duit itu untuk tebatan banjir, dia gunakan duit itu untuk bagi kepada ahli parlimen dia yang dikatakan tak dapat peruntukan dan sebagainya. Jadi duit itu sekarang dah tiada untuk buat tebatan banjir,” dakwanya. – HARAKAHDAILY 10/3/2025











