Juz 8: ‘Bekerja Kerana Allah’

Bingkisan Ramadan

- Advertisement -

KEIKHLASAN merupakan asas dalam semua amalan. Setiap amal yang dilakukan hendaklah disandarkan kepada niat yang sahih kerana Allah SWT semata-mata. Amatlah rugi amalan yang dilakukan tanpa keikhlasan kerana ia hanya menjadi seperti debu-debu berterbangan yang tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi Allah SWT.

Al-Syahid Imam Hasan al-Banna mentakrifkan ikhlas dengan ‘setiap kata-kata, amalan dan jihad saudara muslim adalah kerana Allah, untuk mencari keredaan-Nya dan ganjaran baik daripada-Nya, tanpa memandang kepada sebarang imbuhan, kemegahan, gelaran, terkemuka atau tidak. Dengan itu, ia menjadi seorang anggota yang bekerja demi fikrah dan ‘aqidah, bukannya kerana kebendaan dan kepentingan.’

- Advertisement -

Firman Allah SWT:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ ‎﴿١٦٢﴾‏ لَا شَرِيكَ لَهُ ۖ وَبِذَٰلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ ‎﴿١٦٣﴾‏

“Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. (162) Tiada sekutu bagi-Nya, dan dengan itu aku diperintahkan, dan aku adalah orang yang pertama-tama berserah diri (kepada-Nya). (163)” (Surah Al-An’am, Ayat 162-163)

Imam al-Junaid berkata: ‘Ikhlas merupakan rahsia antara Allah dan hamba, tidak diketahui oleh malaikat untuk ditulis, tidak diketahui oleh Syaitan untuk dirosakkan, dan tidak pula diketahui oleh hawa nafsu untuk dipalingkan.’ Oleh itu, sekiranya ayat ini direnungi dan dihayati dalam semua amalan termasuk pekerjaan harian kita, ia akan menjadi teras keikhlasan untuk ditunaikan dengan adil dan penuh kesungguhan.

Sebagai pendukung perjuangan Islam, kita dituntut untuk menghayati hakikat keikhlasan dengan meletakkan kepentingan agama melebihi kepentingan lain. Dalam konteks organisasi dan kepimpinan, keikhlasan menjadi faktor utama yang memastikan kesatuan dan keutuhan jamaah terpelihara. Semuanya hanya terarah kepada lillahi ta’ala iaitu kerana Allah SWT.

DATO’ PANGLIMA PERANG USTAZ DATO’ MOHD NASSURUDDIN DAUD
Menteri Besar Kelantan
8 Ramadan 1446H – HARAKAHDAILY 10/3/2025

- Advertisement -