
TRADISI gotong-royong memasak dan mengedarkan bubur lambuk bermula hari pertama Ramadan sehingga hari ke-27, terus dikekalkan oleh Majlis Tindakan DUN (MTD) Simpang Empat, Arau, Perlis yang telah mencecah tahun ke-35 pelaksanaannya.
Bubur lambuk, sejenis bubur nasi yang dimasak dengan pelbagai rempah, santan, dan daging, merupakan juadah istimewa yang sering dikaitkan dengan bulan Ramadan. Makanan ini menjadi simbol perpaduan kerana penyediaannya yang melibatkan kerja gotong-royong serta edaran percuma kepada masyarakat, khususnya kepada golongan memerlukan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat, Razali Saad, berkata usaha ini sangat bermakna dalam menyemarakkan semangat Ramadan di samping mengeratkan hubungan sesama masyarakat.
“Program seperti ini bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga menghidupkan budaya gotong-royong yang semakin dilupakan. Saya berharap tradisi ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya selepas turut sama mengedarkan juadah itu pada Sabtu, 8 Mac kelmarin.
Sementara itu, Timbalan Pengarah MTD Simpang Empat, Ismail Ibrahim, yang mengetuai inisiatif ini berkata, penyediaan bubur lambuk bukan sekadar satu amalan kebajikan, tetapi juga satu medium untuk merapatkan ukhuwah dalam kalangan penduduk setempat.
“Setiap tahun, kami pastikan bubur lambuk ini sampai kepada seramai mungkin penduduk, khasnya mereka yang dalam perjalanan pulang dari kerja atau yang memerlukan,” katanya.
Hadir sama, Bendahari MTD, Hasan Pin, serta Muslimat PAS DUN Simpang Empat yang bersama-sama membantu dalam penyediaan bubur lambuk.
Edaran bubur lambuk akan dilakukan setiap petang sepanjang Ramadan di Pekan Simpang Empat, berhadapan Bank Simpanan Nasional, bermula selepas Asar.
Orang ramai yang ingin mendapatkan bubur lambuk atau turut serta dalam infaq boleh merujuk kepada pihak penganjur, selain itu, takwim Ramadan turut diedarkan kepada orang ramai. – HARAKAHDAILY 10/3/2025












