Bubur kanji resepi Ustaz Azizan kekal rasa asli

Walau sudah 20 tahun

Rasdi Ahmad (tengah berkaca mata)bersama pembantu membungkus bubur kanji resepi Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak, di Markas PAS Jerai.
- Advertisement -

BUBUR kanji legasi Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak, sememangnya tidak pernah lekang dan hilang rasa aslinya walau sudah melangkaui 20 tahun.

Resepi asli bekas Pesuruhjaya PAS dan Menteri Besar Kedah itu, tidak ditokok tambah oleh tukang masak yang setia menyediakannya setiap kali bulan Ramadan.

Bubur kanji PAS Kawasan Jerai yang juga dikenali umum sebagai bubur lambuk itu memang sentiasa diburu peminat setia yang saban tahun menikmatinya ketika berbuka puasa.

Menurut ketua tukang masak bubur kanji itu, yang juga petugas tetap Markas PAS Kawasan Jerai, Rasdi Ahmad, semua bahan disedia untuk memasak bubur kanji itu ditimbang untuk mempastikan sukatan betul dan kekal rasa aslinya.

“Kalau dahulu, arwah Ustaz Azizan, bila dia rasa saja bubur kanji ni, dia tau, kurang kat mana, lebih kat mana. Pernah sekali saya masak, bubuh santan dua kilo sahaja, dia tau (tahu). Dia tegur dan suruh esok suruh bubuh enam kilo.

“Esok tu saya masak, bubuh lima kilo santan tak ikut macam dia kata. Bila dia rasa, dia kata, ok dah tapi santan tak cukup sekilo,” jelasnya mengimbau seawal penglibatan beliau sebagai tukang masak bubur kanji resepi Almarhum, sejak 1995 lagi.

Disediakan petugas tetap tanpa bayaran

Bubur kanji PAS Kawasan Jerai ini disediakan bermula 1 Ramadan hinggalah 26 Ramadan setiap tahun bertempat di markas PAS berkenaan.

Setiap hari dua periuk bubur dimasak berkapisiti 28 kilogram beras dan dapat menghasilkan 1,200 bungkus bubur kanji.

Kata Rasdi, bersamanya tiga orang pembantu iaitu Jamil Arshad, Ramli Hamid dan Kamarudin Bakar serta sembilan orang lagi yang ditugaskan untuk membungkus bubur.

“Mereka ini petugas tetap, mai (mari) ke markas hari-hari, dari jam 8:30 pagi hingga 3:30 petang. Tak ada bayaran apa-apa, cuma kita akan bagi saguhati duit raya dan hamper raya, pada hujung Ramadan.

“Cuma adalah tahun ini, kita sediakan apron untuk mereka, tahun lepas T-Shirt,” tambah beliau lagi.

Setiap hari kata beliau, dari jumlah 1,200 bungkus bubur kanji itu, 400 bungkus akan diserahkan kepada empat cawangan PAS mengikut giliran dan selebihnya diedar kepada orang ramai.

Selalunya waktu edaran pada jam 3:30 petang dan kerap kalinya terutama di awal Ramadan, dalam tempoh 15-20 minit bubur kanji akan habis.

“Kepada Jabatan dan Agensi Kerajaan, kita edar juga tetapi sekali sahaja sepanjang bulan Ramadan ini,” ujarnya lagi.

- Advertisement -

Kelainan bubur kanji resepi Ustaz Azizan

Bercakap berkenaan kelainan dan keistimewaan bubur kanji resepi Almarhum Tan Seri Ustaz Azizan ini, adalah dari segi bahannya.

Menurut Rasdi, kaki lembu akan direbus bersama beras untuk memberi rasa yang berbeza dengan bubur kanji di tempat lain.

“Setiap hari, kita guna satu batang kaki lembu, potong enam dan setiap periuk kita campur tiga potongan,” katanya.

Selain itu, udang, kering, serai, lada hitam dan beberapa yang lain dikisar lumat sebelum dimasukkan ke dalam rebusan beras.

Satu lagi, katanya, resepi bubur kanji Almarhum ini juga ditambah dengan minyak bawang yang dibuat sendiri oleh mereka, selain setiap periuk ditambah lima kilo santan segar untuk menambah lagi keenakannya.

“Minyak bawang ini dicurahkan ke dalam periuk bubur apabila bubur dah siap masak, selain ditabur daun bawang, daun sup dan bawang goreng,” kongsinya lagi.

Setakat ini, tiga PAS Kawasan iaitu Kawasan Baling, Sik dan Pendang telah berkongsi resepi ini untuk dimasak di kawasan masing-masing, namun Rasdi tidak pasti sama ada rasanya sama seperti beliau sediakan atau sebaliknya.

Kos penyediaan

Untuk menyediakan dua periuk bubur kanji itu memerlukan kos RM1,200 setiap hari.

Namun kata beliau, kos serta perbelanjaan itu disumbang oleh cawangan-cawangan PAS seluruh Kawasan Jerai sebanyak RM300 setiap cawangan.

Walaupun hanya 60 peratus daripada 102 cawangan yang menyumbang, tetapi ia mencukupi kerana ditampung oleh para penaja individu, dewan-dewan dan Majlis Ketua Kampung (MKK).

“Dulu setiap cawangan kita kutip RM250 tetapi tahun ini RM300. Tahun lepas satu periuk kos RM500 tapi sekarang RM600 sebab kos harga barang meningkat.

“Walau bagaimanapun, alhamdulillah setakat ini kos kita mencukupi dan kita juga telah ada 21 periuk yang ditaja oleh individu, termasuk Ustaz Musoddak Ahmad, Ustaz Sabri Azit dan Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat.

“Lain-lain tajaan dari Dewan Muslimat, Pemuda dan Ulamak PAS Kawasan Jerai,” jelasnya lagi.

Apa yang penting katanya, bubur kanji resepi Almarhum Tan Seri Ustaz Azizan dapat dinikmati semua orang walaupun beliau sudah meninggalkan kita hampir 12 tahun lalu. – HARAKAHDAILY 10/3/2025



- Advertisement -