
KUALA LUMPUR: Perbezaan dasar perkhidmatan dalam angkatan tentera telah menimbulkan masalah kepada pesara yang berkhidmat dalam tempoh jangka pendek.
Justeru, Senator Azahar Hassan mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan satu skim tunggal yang tetap dan berpencen bagi semua anggota tentera bagi memastikan kebajikan mereka terjamin selepas menamatkan perkhidmatan.
“Memang kita patut mengenang jasa askar-askar kita yang telah berjuang mempertahankan negara. Namun, sejak dahulu lagi, terdapat dua dasar berbeza bagi anggota tentera. Ada yang jangka pendek, tetap dan berpencen.
“Jadi masalah sekarang ini ialah pesara jangka pendek mereka tidak ada pencen dan sebagainya, inilah kesan yang dasar-dasar yang saya rasa membezakan.
“Walaupun mereka bertugas hanya mungkin 10 atau 15 tahun, tapi kesannya ialah selepas pencen, mereka tiada pendapatan tetap, nak buat rumah pun tak boleh dan sebagainya,” katanya ketika mencelah uacapan Senator Datuk Dr Azhar Ahmad dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menghapuskan sistem jangka pendek dan hanya mengekalkan satu skim tetap yang berpencen bagi semua anggota tentera.
“Saya bersetuju bahawa kesemua mereka ini perlu dibantu untuk mendapatkan sedikit peluang untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/3/2025











